Lagu :)

15 February 2019

CERPEN KASIH QADEEJA



        “Kau buat apa ini?” tengking Encik Eddy kuat dan lantang sehingga semua pengunjung yang lalu lalang di hadapan kedai kasut Al-Rahman itu terhenti seketika. Malah, ada juga pasangan yang sedang mengendong bayi bergerak sedikit berjauhan daripada laluan kedai itu. Encik Eddy menikam tajam bola mata Deeja sehingga dia sedikit tertunduk kerana menahan malu yang amat setelah dimarahi dengan teruk di hadapan ramai pengunjung pusat beli belah Angkasapuri.

          “Kau ini kerja macam mana takkan benda senang macam ini pun aku nak ajar. Patutlah tak ada orang nak minta kerja sebab kau lekatkan iklan kerja ini sebelah kanan,” tambah Encik Eddy lagi. “Apa kena mengena sedangkan selama ini aku pernah je letak sebelah kiri bangunan kedai tapi seminggu juga menyepi tidak ada seorang pun yang masuk ke kedai memohon pekerjaan,” gumam Deeja di dalam hati. Encik Eddy memarahi Deeja dengan teruk sekali sehingga semua pekerja lain di dalam kedai tidak berani membuka mulut dan hanya kaku berdiri. Tidak cukup juga dia turut mencemuh Deeja kerana tidak sambung belajar seperti pekerja lain yang mempunyai diploma, ijazah dan ada juga pekerja sambilan yang sedang menyambung pengajian di peringkat diploma. Encik Eddy turut mengatakan bahawa Deeja bodoh dan tidak pandai melakukan kerja-kerja di kedai walaupun kerja yang senang kerana tidak berpelajaran seperti mereka.

        Encik Eddy selaku pengurus besar kedai kasut Al-Rahman sememangnya terkenal dengan sikapnya yang bengis dan baran tidak tentu hala. Deeja sedar bahawa dia hanyalah seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak sambung belajar sepertimana remaja lain yang seusia dengannya. Deeja masih lagi mampu bertahan kerana inilah merupakan pekerjaan pertama dalam kamus hidupnya, sumber pendapatan halal baginya, dan merupakan peluang untuknya terus belajar dalam bidang perniagaan yang sememangnya cita-cita Deeja.

       Qadeeja, anak gadis kepada pasangan Khalid dan Aminah. Deeja sangat berminat dalam bidang perniagaan namun selepas sahaja peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia dia tidak mampu untuk menyambung ke mana-mana institusi pengajian tinggi lantaran kesempitan kewangan. Arwah bapanya, Encik Khalid merupakan seorang peniaga barangan runcit di kawasan Kampung Melayu akan tetapi jatuh muflis setelah terpaksa menanggung hutang yang terlalu banyak. Ini semua berpunca dengan sikap orang kampung yang suka membeli barang secara berhutang di kedai arwah bapanya. Ayah Deeja kemudiannya terkena serangan sakit jantung dan meninggal dunia manakala ibunya meninggal dunia setelah dua tahun pemergian ayahnya. Oleh disebabkan ketiadaan waris yang ingin menjaga Deeja maka dia ditempatkan di Rumah Anak Yatim Rabiatul Husna. Di situlah tempat Deeja menumpang kasih dan membesar selama 10 tahun lamanya. Namun setelah tamat pengajian di tingkatan lima dia nekad untuk meninggalkan rumah anak yatim itu dan cuba untuk hidup berdikari. Deeja membuat keputusan sedemikian kerana tidak sanggup lagi menyusahkan Ummi selaku penjaganya di rumah anak yatim tersebut.

         Sudah lima bulan lamanya Deeja meninggalkan rumah anak yatim itu dan tinggal bersama dengan seorang rakan sekerja yang bernama Auni. Mereka berdua menyewa sebuah flat kecil dua bilik yang jaraknya hanya dua kilometer dengan pusat beli belah Angkasapuri.

        Pada hari Jumaat datang seorang lelaki berbaju Melayu dan berseluar slack ke kedai kasut Al-Rahman. Sudah Deeja duga bahawa lelaki tersebut datang kerana ingin mengisi kekosongan jawatan sebagai pembantu pengurus. “Kak, Encik Eddy ada? Saya datang nak temuduga dengan Encik Eddy,” kata lelaki itu. “Ada, sekejap saya panggil dia,” kata Auni. Deeja hanya memandang dari sudut kanan kedai kerana sedang sibuk melayan pelanggan.

        Keesokan harinya, Deeja masuk syif petang bersama dengan pekerja baru lelaki yang datang temuduga semalam. “Assalamualaikum, nama saya Abdul Qashaf, awak semua boleh panggil saya Qashaf sahaja,” kata lelaki tersebut. Semua pekerja mengalu-alukan Qashaf selaku pekerja baru di situ. Encik Eddy pula mengarahkan supaya Qashaf belajar dari bawah iaitu sebagai jurujual dan juruwang kerana Encik Eddy mahukan semua pekerjanya tahu perkara-perkara asas sebagai pekerja di kedai Kasut Al-Rahman. Jawatan pembantu pengurus yang disandang oleh Qashaf merupakan jawatan kedua tertinggi selepas pengurus yang disandang oleh En Eddy sendiri. Encik Eddy mahukan Deeja untuk melatih Qashaf. Deeja terpaksa akur dengan arahannya kerana Encik Eddy juga mahukan dirinya supaya mengajar Qashaf sambil berlatih untuk menjadi seorang jurujual yang serba boleh.

        Ketika Deeja sedang menyusun kotak-kotak kasut dengan menggunakan tangga. Datang pula seorang pelanggan yang dia dapati merupakan seorang warga asing. “Adik, pasaraya sini tidak ada jual sejadah ke?” kata lelaki warga Indonesia itu. Deeja terpempan dan kelu. Mana mungkin pusat beli belah sebesar Angkasapuri tiada langsung menjual sejadah gumam Deeja di dalam hati. Sungguh dunia sudah berada di hujung nyawanya. “Bapak, mencari sejadah ya, sepanjang lima bulan saya bekerja di sini belum pernah lagi saya jumpa mana-mana kedai jual sejadah. Tapi bapak bernasib baik kerana saya ada satu sejadah dalam beg tetapi kecil sahaja. Bapak mahu?”

         “Tidak mengapa ke adik? Kalau bapak pinjam?,” katanya lagi. “Mungkin ini pertama kali bapak ini sampai ke Malaysia dan ingin menunaikan solat tetapi tiada sejadah,” gumam Deeja di dalam hati. “Boleh sahaja, bapak. Ambil sahaja saya ada lagi lebih sejadah di rumah. Tidak perlu pinjam,” kata Deeja lagi.

     “Terima kasih, nak,” kata pakcik itu lagi. Setelah mengambil sejadah itu Deeja dapat lihat dengan jelas air mata pakcik itu sedikit berkaca dan pakcik itu pun berlalu pergi.

      “Siapa pakcik itu, Deeja?” kata Qashaf. “Bukan siapa-siapa dia cuma pelanggan biasa sahaja,” balas Deeja malas malu ulas panjang lebar. “Kalau begitu, kotak kasut ini semua saya rasa lebih mudah kalau kita letak kasut yang paling laris di bahagian bawah supaya mudah diambil bila pelanggan nak beli,” beritahu Qashaf. “Baiklah, Encik Qashaf,” balas Deeja pula. Meskipun Qashaf masih muda namun memang polisi kedai kasut Al-Rahman untuk memanggil orang yang lebih berpangkat dengan panggilan encik.

                                       ******************************
      
      Bulan puasa telah pun tiba. “Alhamdulillah sudah genap hampir sepuluh bulan aku bekerja di sini.  Oleh disebabkan Syawal akan berkunjung tiba dalam beberapa hari lagi, aku harap bulan ini dapatlah aku memberi wang yang lebih banyak kepada Ummi dan adik-adik. Aku mahu melihat adik-adik gembira dengan sepasang baju baharu dan juga biskut raya yang bakal aku hadiahkan kepada mereka,” gumam Deeja di dalam hati.

      “Berani betul budak ini datang kerja. Mentang-mentang semalam dah habiskan duit jualan kedai. Pandai pilih masa semalam cuti harini baru nampak batang hidung,” getus Qashaf di dalam hati kecilnya.

     “Deeja, saya nak cakap dengan awak ini, duit jualan semalam awak dah masukkan dalam bank ke?” kata Qashaf. “Oh semalam saya bagi duit tu kepada Auni, Encik Qashaf,” balas Deeja. “Aik, betul ke awak cakap ini Deeja cuba awak bagitahu hal sebenar? Sebab selama ini pun duit jualan awak yang masukkan dalam bank kan?” nada Qashaf mulai meninggi. “Tidak encik, semalam saya pulang ke rumah Ummi sebab saya dah lama tak jumpa ahli keluarga saya. Duit tu saya suruh Auni yang masukkan dalam akaun bank syarikat sebab saya terpaksa pulang awal kalau tidak susah nak dapat bas,” ulas Deeja panjang lebar. “Biar betul awak ini, kenapa saya tanya Auni dia kata awak yang masukkan duit tu dalam akaun bank syarikat. Auni dah bekerja di sini pun lebih lama daripada awak, kalau saya bagitahu kes ini kepada Encik Eddy pun nahas awak. En Eddy pasti akan menyebelahi Auni. Awak tahu duit jualan pada hujung minggu mencecah lima ribu ringgit, apa saya nak jawab dengan Encik Eddy apatah lagi bos besar,” balas Qashaf pula.

     Aku yakin memang duit itu aku beri kepada Auni. Tidak mungkin Auni nak mengkhianati aku. Tidak mungkin!!!!!!! gumam Deeja di dalam hati.

     “Deeja, saya percaya awak selama ini, duit syarikat saya suruh awak masukkan dalam akaun bank syarikat bukan untuk awak berjoli sesuka hati,” bentak Encik Eddy. “Saya dah tanya Auni dia kata duit itu memang ada pada awak, selama ini pun awak yang selalu masukkan duit ke dalam akaun syarikat. Saya dah agak awak tunggu masa yang sesuai sahaja untuk ambil duit itu. Selama ini awak kerja semakin baik rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Saya tak sangka awak sanggup ambil duit syarikat untuk kesenangan awak sendiri,” tambah Encik Eddy berserta dengusan yang kasar.

     “Saya terpaksa berhentikan awak bekerja tanpa notis, perkara ini telah pun saya adukan kepada akauntan syarikat. Gaji awak pada bulan ini disekat dan kemungkinan besar awak tidak akan terima sesen pun duit gaji untuk gantikan duit yang telah awak selewengkan. Awak boleh keluar sekarang dari kedai ini sebab saya dah tak nak tengok muka awak lagi. Keluarrr!!!!,” bentak Encik Eddy kasar.

     Deeja melangkah keluar dari kedai itu dengan lemah longlai. Tiada lagi kekuatan dirasakan di kakinya untuk terus melangkah. Hujan air mata terus-menerus membasahi pipinya. Deeja mulai hilang arah. Deeja cuba kumpul sedikit demi sedikit kekuatan untuk mendail nombor telefon milik Auni. Auni sememangnya cuti pada harini. Tiada jawapan. Deeja cuba sekali lagi untuk menghubungi Auni namun gagal dan hanya operator panggilan sahaja yang menyahut panggilannya.

     “Sampai hati kau Auni. Selama ini aku percayakan kau tapi apa yang kau buat pada aku, kau tak sayangkan aku ke, sahabat kau sendiri,” Deeja bertanya pada diri sendiri.

     Masih segar di ingatannya. Malam itu apa yang berlaku sebenarnya. “Auni, kau tolong aku masukkan duit ini dalam akaun syarikat ye sebab aku kena balik malam ini juga. Ummi aku tak berapa nak sihat, jadi aku kena jenguk dia sebab rasa tak sedap hati la,” kata Deeja kepada Auni. “Kau pergilah Deeja, aku ada jangan risau pandailah aku masukkan duit. Lagipun selalu aku temankan kau kan? Jangan lupa kirim salam dengan ummi kau semoga semuanya baik-baik sahaja,” beritahu Auni lagi.

      Deeja cuba mencari Auni di rumah tetapi dia tidak muncul juga. Sehinggalah keesokan harinya. Pintu pagar rumah dikuak perlahan-lahan. Deeja tersedar dari jaga. Cuba melihat jika Auni yang masuk ke rumah. Jam lima pagi.

           “Auni, aku nak cakap sikit dengan kau?” tanya Deeja.


           “Apa dia?” balas Auni.


        “Kau tipu semua orang di tempat kerja pasal aku yang curi duit syarikat kan?” lantang Deeja menyuarakan pertanyaan.

          “Kau kenapa Deeja angin tidak tentu pasal, kau tahu aku penat kan? Oh pasal duit tu memang patut kau kena bertanggungjawab sebab kau percaya sangat dengan aku. Ternyata kau memang mudah masuk perangkap aku. Aku harap lepas ini kau jangan tinggal rumah ini lagi. Aku tak nak tengok muka bajet baik kau tu dekat sini faham?” balas Auni dalam keadaan terhuyung-hayang kerana mabuk.

         “Aku tidak pernah lihat Auni dalam keadaan mabuk. Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak kena. Auni yang aku kenal tidak pernah berperangai sedemikian rupa,” gumam Deeja di dalam hati.

        “Aku memang nak keluar dari rumah ini. Cuma aku tunggu masa yang sesuai sahaja sebab aku nak dengar penjelasan daripada kau sendiri. Ternyata aku silap besar menilai kau selama ini. Kau jangan lupa sekali kau makan duit haram tu selama itulah bala akan sentiasa menimpa kau. Duit tu bukan duit aku. Aku anggap apa yang terjadi ni sememangnya ujian daripada Allah swt kerana nak tunjukkan kepada aku perangai manusia topeng seperti kau. Aku minta halal terlebih terkurang dalam makan minum serta perbuatan aku selama ini. Di kemudian hari kau akan menyesal juga Auni,” beritahu Deeja panjang lebar.

         “Alaaaa minah ni pun macam ustazah la. Kau fikir aku ada perasaan nak menyesal ke? Aku akan hidup lebih senang lepas ini percayalah. Kau pula suka hati kaulah nak merempat mana-mana jangan pernah ganggu aku lagi. Kau jangan nak pandai-pandai buat laporan polis ke sebab kau tak ada bukti. Kau memang selalu percaya aku dan tak pernah pun mencurigai aku. Jadi aku gunakan kesempatan ini untuk cuba umpan kau lagipun kau telefon pintar pun tidak ada. Masa hari kejadian mana ada bukti gambar yang duit itu kau bagi aku. Saksi? Saksi kirim salam la haram tak ada. Ha..Ha..Ha.. Haa..,” lantang sekali Auni menikam kata-kata Deeja.

                           ******************************

          “Ummi, mulai harini Deeja akan tinggal dengan Ummi. Deeja kena buang kerja. Deeja nak cuba berniaga sendiri. Maafkan Deeja sebab…Deeja tinggalkan Ummi dengan adik-adik. Deeja cuma tak nak menyusahkan Ummi lagi. Lagipun Deeja dah besar dan seharusnya Deeja yang cari duit untuk keluarga kita,” terketar-ketar Deeja mengeluarkan kata-kata disertai dengan linangan air mata.

        “Deeja, Ummi tak pernah pun halau Deeja. Ummi sayang Deeja. Ummi dah cakap jangan tinggal jauh dengan Ummi. Di dunia luar sana tu penuh dengan onak dan duri Deeja. Awak baru sahaja berumur lapan belas tahun. Ummi masih lagi mampu nak sara awak Deeja,” balas Ummi penuh belas kasih dan sayang.

     Deeja lantas memeluk Ummi dengan penuh erat. Adik-adik yang lain mula mengerumuni di sekelilingnya. Mereka juga seakan-akan memahami akan situasi yang menimpa Deeja. Pelukan Deeja dan Ummi bertambah hangat apabila adik-adik menyertai pelukan mereka. Suasana syahdu malam itu.

                            ******************************

    “Kak, kuih ini saya nak dua ringgit,” kata remaja berpakaian sekolah itu.

     “Adik, saya nak plastik,” kata wanita berusia awal tiga puluh-an itu pula.

     “Sos, dik lebih sikit pakcik nak,” kata pakcik yang umurnya mungkin sudah separuh abad.

     “Alhamdulillah syukur. Pelanggan aku semakin meningkat dari hari ke hari. Kalau dulu mungkin pekerjaanku lebih mudah dan tidak memenatkan namun aku lebih suka dengan apa yang aku lakukan sekarang. Iaitu berniaga. Walaupun penatnya lebih berbanding pekerjaan dahulu tapi aku dapat merasakan kepuasan mencari rezeki,” gumam Deeja di dalam hati.

     “Dik, abang nak dua ringgit,” kata seorang lelaki. Deeja seakan mengecam akan pemilik suara itu.

     Sekali Deeja toleh ternyata sangkaannya benar. Bahawa itu dia. Qashaf. “Encik Qashaf?” Deeja cuba meminta kepastian.

     “Eh, Deeja..Aaa.. Apa awak buat dekat sini?” balas Qashaf pula seperti kehairanan. “Awak kerja sambilan dekat sini ke?” tanya dia lagi.

     “Tak. Saya berniaga dekat sini,” balas Deeja pendek dan ringkas kerana sibuk melayan pelanggan-pelanggan lain pula yang ingin membeli kuihnya.

     “Deeja…saya nak bagitahu awak sesuatu,” kata Qashaf seperti ada sesuatu yang sangat penting.

     “Boleh, tapi tunggu saya selesai dulu semua kerja. Itupun kalau Encik Qashaf sudi menunggu,” balas Deeja.

     Selepas hampir satu jam menunggu, pelanggan mulai surut dan Deeja mulai mengemas-ngemas meja dan barang jualannya. Deeja mengajak Qashaf datang ke rumahnya dengan hanya berjalan kaki kerana rumah Deeja terletak hanya beberapa langkah dari tapak dia berniaga.

     “Apa dia yang ingin Encik Qashaf cuba beritahu saya?” kata Deeja.

     “Macam ni, Deeja. Awak tak payah la panggil saya encik, encik ni lagi panggil je Qashaf.  Pertama sekali, saya nak bagitahu yang saya sudah pun kena buang kerja kerana dituduh mengambil duit syarikat oleh Encik Eddy sendiri. Duit tu sejumlah lima belas ribu ringgit. Encik Eddy cuba nak tutup kesalahan dia dengan menuduh saya kerana saya tahu hal sebenar. Sebenarnya semua duit syarikat hilang gara-gara Encik Eddy dan Auni. Mereka berdua sudah lama buat kerja ini. Saya betul-betul tak sangka Deeja, yang Encik Eddy dan Auni tu ada hubungan sulit. Encik Eddy sudah beberapa kali memalsukan kertas kerja syarikat. Saya sedar semua tu apabila hasil keuntungan syarikat tidak selari dengan hasil jualan harian. Saya cuba bertanya secara baik dengan Encik Eddy namun keesokan harinya saya pula kena tuduh kerana selewengkan duit syarikat,” ulas Qashaf panjang lebar.

     “Saya juga ingin meminta maaf sebab saya pernah lukakan hati awak kerana saya sendiri tidak percayakan awak sedangkan saya tahu sikap awak yang sebenarnya,” beritahu Qashaf.

     “Tidak mengapa Qashaf. Saya sudah lama maafkan awak lagipun perkara ini terjadi bukan angkara awak pun. Habistu sekarang ni awak kerja di mana?” tanya Deeja.

     “Saya belum ada kerja lagi. Tapi saya dapat tawaran daripada rakan saya dia ingin menyewakan kepada saya sebuah kedai. Cumanya saya masih bingung hendak melakukan bisnes apa,” kata Qashaf.

      “Berita baik. Saya rasa ada patutnya peluang itu Qashaf gunakan sebaik mungkin dengan membuka bisnes seperti gerai makan ke?” Deeja cuba memberikan pandangan.

     “Hmm. Cadangan yang baik. Tapi saya ada satu lagi cadangan. Apa kata awak jadi rakan kongsi saya,” beritahu Qashaf lagi sambil mengangkat keningnya sebelah.

     “Errrr…kalau itu cadangan awak. Saya rasa saya kena fikir dulu dan saya kena tanya Ummi dulu,” balas Deeja.

     “Apa yang kamu berdua berbincang ni nampak macam serius sahaja?” tiba-tiba Ummi mencelah.

     “Ehh Ummi, heee tak ada apa-apa yang serius pun Ummi,” balas Deeja dan dia mulai berasa malu.

     Ummi datang dengan dulang yang berisi teko dan dua biji cawan dari dapur. Ummi menghidangkan air dan sepiring kuih kemudian berlalu pergi.

     “Qashaf, berbalik kepada cerita awak tadi berkenaan Encik Eddy dan Auni ada patutnya awak melaporkan hal ini kepada pihak polis,” beritahu Deeja dengan nada serius.

******************************

     “Semua beri perhatian saya nak umumkan suatu berita penting,” kata Qashaf lantang.

     Di hadapannya terdapat lebih kurang tiga puluh pelanggan yang hadir ke Restoran Qadeeja. Semua pelanggan di situ mengalihkan pandangan dan sabar menanti ucapan yang ingin disampaikan oleh pemilik kedai Restoran Qadeeja.

     “Bersaksikan semua pelanggan pada hari ini, saya Abdul Qashaf bin Abdul Manaf ingin melamar saudari Nurul Qadeeja sebagai isteri saya yang sah. Selama ni saya sedar Qadeeja bukan seorang wanita biasa. Dia sangat luar biasa. Saya pernah melihat dia melakukan kebaikan dengan seorang pakcik warga asing yang tidak dikenali dengan begitu tulus akan tetapi apabila saya bertanya kepadanya apa yang dia sedang lakukan dia hanya menjawab tiada apa kerana dia sedang cuba sedaya upaya untuk menutup perlakuan baiknya. Saya sedar perasaan saya terhadap dia selama ini tidak pernah silap. Sebagaimana Rasulullah swt mencintai Saiditina Khadijah seorang wanita yang paling mulia di muka bumi Allah. Saya juga mencintai wanita yang juga bernama Qadeeja dengan penuh kasih dan sayang. Qadeeja sudikah awak untuk menjadi yang halal buat saya?” lantang suara Qashaf mengutarakan hasrat murninya kepada Qadeeja gadis yang dicintainya.

     Berguguran air mata Qadeeja saat itu. “Dengan nama Allah maha pemurah lagi maha penyayang saya terima awak sebagai imam saya,” balas Qadeeja disertai air mata yang lebat berlinangan.

     Semua pelanggan di Restoran Qadeeja bangkit berdiri dan bertepuk tangan. Mereka semua tersenyum gembira melihat lamaran seorang jejaka telah pun diterima oleh sang puteri.

     “Alhamdulillah syukur, ya Allah. Oleh disebabkan lamaran saya diterima, maka semua yang hadir ke Restoran Qadeeja pada harini saya belanja. Makanlah saudara dan saudari pada hari ini dengan senang hati dan doakan semoga kami selamat disatukan bersama,” beritahu Qashaf lagi dengan senyuman yang lebar.

******************************

‘Perjalanan hidup yang kita lalui terkadang menyakitkan.
Tetapi bila kita percaya dengan aturan Allah, itu lebih indah.
Namun harus kita ingat kunci setiap perjalanan yang berlaku adalah tabah dan sabar.
Maka jalanilah hidup dengan berpaksikan jalan takwa barulah rahmat mengiringi setiap langkah kita di jalanan.’

     “Semakin hari semakin ramai pelanggan di Restoran Qadeeja. Tiada kata untuk aku mengungkapkan selain rasa bersyukur. Meskipun hidup aku dahulu penuh dengan ujian dan dugaan akan tetapi aku dapat lalui semua itu dengan mudah. Cita-citaku pula untuk menjadi seorang ahli perniaagaan yang berjaya sebagaimana isteri junjungan kita Saiditina Khadijah telah pun tercapai berkat kesabaranku. Hidup aku kini lebih tenang disamping Qashaf, Umar anak kami, Ummi dan adik-adik di rumah Anak Yatim Rabiatul Husna. Jika dahulu aku tak mampu nak tanggung Ummi dan adik-adik tetapi sekarang tidak lagi malah sudah ada lagi sebuah cawangan Anak Yatim Rabiatul Husna yang akan dirasmikan dalam masa beberapa bulan lagi. Ini semua berkat rezeki perniagaan kami,” gumam Qadeeja di dalam hati.

     Bidang perniagaan juga merupakan salah satu sunnah nabi. Benarlah bahawa apabila kita menghidupkan sunnah nabi semuanya akan berjalan dengan lancar. Sebagaimana hadis riwayat dari ibnu umar, Rasulullah apabila ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan yang baik.” Qadeeja pernah mendengar hadis ini daripada ayahnya sendiri sewaktu dia kecil. Tanpa dia sedari air matanya berguguran kerana teringatkan arwah ayah dan ibunya. Lantas dia mengelap air mata yang mulai mengalir di pipi dan menyedekahkan surah Al-fatihah kepada kedua orang tuanya.
******************************

     Keadaan di pasaraya Citra riuh rendah dengan suara lantang seorang lelaki yang berbadan tegap dan mukanya kelihatan sedang menahan marah yang kian meluap-luap. Lelaki itu ternyata sedang memarahi seorang wanita yang bersamanya seorang bayi yang dikendong di belakang badannya. Deeja cuba menghampiri kerana ingin mengetahui apakah kejadian sebenar yang berlaku lantaran kasihan dengan bayi kecil yang dikendong wanita terbabit.
     Semakin dekat kakinya melangkah ke arah wanita tersebut. Bertambah hebat jantungnya berdetak. Alangkah terkejutnya Deeja apabila melihat wanita tersebut merupakan seseorang yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu iaitu Auni.
     “Encik, apakah sebenarnya yang berlaku?”  tanya Auni kepada lelaki yang berbadan tegap itu.
     “Wanita ni puan dia mencuri setin susu formula bayi, saya sebagai pengurus mesti melaporkan dia kepada pihak polis,” balas lelaki tersebut.
     “Berapa harganya, tidak mengapa biar saya bayar harga setin susu tersebut tetapi tolonglah jangan laporkan wanita ini kepada pihak polis. Kasihanilah bayi yang bersama dengan wanita tersebut encik,” beritahu Deeja pula.
     Setelah urusan pembayaran selesai. Wanita tersebut seakan ingin melarikan diri. Namun, Deeja sempat menghalang wanita tersebut.
     “Auni, jom kita berbincang,” kata Deeja dengan nada suara yang lembut. Deeja mengajak Auni ke restorannya yang terletak berhampiran dengan pasaraya terbabit.
     “Deeja, aku minta maaf. Qashaf aku minta maaf. Ini semua salah aku dan Eddy tak guna tu. Aku menyesal. Aku banyak menyusahkan hidup kamu berdua. Aku tak layak untuk terima bantuan kau Deeja. Aku manusia hina. Kau tahu,” bergelinangan air mata Auni ketika itu.
      Qashaf hanya tergamam. Dia seakan malas mahu melayan perbualan isterinya dan wanita tersebut. Akan tetapi dia harus juga turuti kerana Deeja mahu Qashaf melayani Auni sebagai saudara sesama islam yang selayaknya.
     “Aku dah lama maafkan kau Auni. Sebab aku tahu semua perkara ini terjadi pasti bersebab. Aku tahu kau bukan perempuan yang jahat Auni. Cuma kau tersilap langkah sahaja,” beritahu Deeja.
     “Deeja, Qashaf kalau kamu berdua nak tahu sebenarnya duit yang Deeja suruh masukkan dalam akaun syarikat pada malam itu aku beri kepada Encik Eddy. Aku dan Encik Eddy atau Eddy sememangnya sudah lama menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan isterinya. Pada mulanya aku tidak merelakan tetapi setelah Eddy menjanjikan yang dia ingin berkahwin denganku dan dia pula sering bahagiakan aku dengan wangnya yang banyak, aku jadi gelap mata. Eddy sememangnya sudah lama menyelewangkan duit syarikat semenjak dia dinaikkan pangkat menjadi pengurus besar. Duit lima ribu tersebut Eddy berjanji ingin membawa aku ke Thailand dan bernikah di sana. Setelah bernikah, aku baru tahu bahawa Eddy mempunyai ramai hubungan sulit dengan wanita lain bukan aku sahaja. Dia bernikah dengan aku bersebab. Dia mahu aku bersama menolong dia dalam setiap rancangan untuk mencuri duit syarikat. Sehinggalah Qashaf juga terbabit sekali dibuang kerja angkara khianat Eddy,” beritahu Auni lemah dan seakan menyesali akan setiap perbuatannya yang lalu.
        “Mana Eddy sekarang?” tanya Qashaf dengan nada tegas.
     “Dia..dia..dia sudah dipenjarakan beberapa bulan lepas saat aku ingin melahirkan anak kami. Lubang yang selama ini ditutup rapi oleh aku dan Eddy berjaya dihidu oleh salah seorang kakitangan syarikat. Eddy didapati turut merasuah orang atasan sehingga dia mampu mengeluarkan sebilangan duit syarikat dalam jumlah yang banyak. Malangnya orang atasan tersebut ditangkap dan akhirnya dia turut sekali diheret,” beritahu Auni lagi.
     “Aku yang laporkan Eddy kepada pihak kakitangan syarikat dengan membawa banyak bukti yang dapat menuduh Eddy terlibat. Aku tak sanggup menjadi kambing hitam kepada dirinya dan mungkin akan ramai lagi akan jadi mangsa Eddy. Aku minta maaf sebab aku terpaksa melakukan tindakan sedemikian. Ini semua demi kebaikan semua,” beritahu Qashaf.
     “Aku tidak marahkan kau Qashaf. Biarkan sahaja Eddy menerima pembalasan dalam setiap perbuatan terkutuknya. Dia sememangnya layak untuk menerima hukuman,” kata Auni lagi.
     “Sudahlah Auni..kita lupakan sahaja perkara yang lepas. Sekarang ini macam mana dengan kau? Sudah ada pekerjaan?” tanya Deeja sambil tangannya menepuk-nepuk lembut tangan Auni.
     “Tidak ada Deeja. Aku tak punya apa-apa sekarang. Aku hanya ada anak aku sahaja. Aku dah dibuang keluarga sejak aku bernikah dengan jantan tak guna itu. Aku merempat Deeja,” balas Auni sayu.
     “Abang, izinkan Deeja bekerja dengan kita. Bolehkan abang?” tanya Deeja dengan lembut kepada suaminya.
     “Abang akan izinkan jika Auni berjanji hendak berubah. Berubahlah tinggalkan semua perbuatan maksiat yang pernah kau lakukan dulu Auni. Aku tahu bukan duit sahaja kau gelapkan tapi banyak lagi yang Deeja sendiri tidak tahu,” jawab Qashaf dengan nada tegas.
       “Abang, kita berilah peluang kepada Auni. Kita sebagai saudara sesama islam jika melihat saudara kita pernah melakukan kesilapan kita seharusnya membimbing dia untuk bertaubat. Bukan hanya berdiam diri tetapi saling membantu barulah di akhirat kelak kita tidak akan ditanya kenapa kita hanya melakukan ibadah sahaja akan tetapi tidak berdakwah iaitu mengajak kepada kebaikan. Waima kita bukanlah ustaz sekalipun selagi kita bergelar hamba Allah selagi itu kita punya tanggunggjawab untuk berdakwah. Sepertimana dalam surah Al-Asr Allah berfirman : Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran,” beritahu Deeja panjang lebar.

     Deeja dan Auni saling berpelukan disamping bayinya. Sungguh benar jika kita kasihkan manusia akan mati tetapi jika kita kasihkan manusia kerana Allah maka suburlah kehidupan kita di dunia dan di akhirat kelak.