Lagu :)

13 May 2019

PUISI MODEN (Patriotik) – Martabat Sehelai Jalur Gemilang



Aneka jalur luas terbentang,
Merah, putih, biru dan kuning,
Melambai-lambai megah di persada dunia,
Itulah gerangan bendera jalur gemilang,
Yang menjunjung martabat negara Malaysia,

Disebalik jalur gemilang terselit pahlawan-pahlawan negara,
Yang sanggup bergadai nyawa demi negara tercinta,
Disebalik jalur gemilang terpalit seribu memori hitam,
Yang menjadikan dinihari lebih berpohon sentosa,
Disebalik jalur gemilang ternoda anak-anak bangsa,
Yang menanggung sengsara angkara pengkhianat bangsa,

Ayuh kerahkan kudratmu menjulang jalur gemilang,
Setinggi menara impian bangsa Malaysia,
Ayuh gamatkan mantera seruan kebangkitan,
Ke arah penyatuan bangsa yang berbunga seroja,
Setiap langkah hayunan kaki anak bangsa,
Pastikan ia tersemat jutaan harga diri Malaysia,

Kesopanan kesantunan mewarnai jalur gemilang,
Di bawah satu payung 14 buah negeri,
Merah lambang nan gagah berani,
Putih lambang negara Malaysia nan suci,
Kuning berseri menjunjung daulat sang raja Melayu,
Biru tua bagai pancaran perpaduan bangsa Malaysia,
Di sehelai kain yang mencorakkan warna Malaysia,
Lembut lidahku mengungkapkan kalimat merdeka,
Tanpa mengenal noktah yang tiada berpenghujung,
Ku genggam jalur keemasan ini sepenuh jiwa,

Di sehelai kain yang mencorakkan warna Malaysia,
Beraneka warna menggamit perasaan syahdu,
Yang tenggalam dalam gelora lautan perasaan,
Kerna ku mencintai ibu pertiwi melebihi nyawa sendiri.

Terima Kasih

Kerna pernah buat aku istimewa,
Bertahun lamanya dikau yang ku kenali,
Tika itu aku hanya mencuba,
Buka hati buat makhluk terasing,
Mengenal insan yang ikhlas berteman

Aku anggap kau benar sebagai teman,
Kemudian aku hilang,
Aku mahukan ruang untuk mendaki,
Aku jatuh dan tersungkur ribuan kali,
Sebelum aku berjaya pasakkan kaki di kaki gunung

Kau muncul,
Kita mula berteman semula,
Aku bahagia kerna kau masih ingat akan aku,
Kita teman,
Berjanji untuk berteman,
Begitu juga kata hatiku

Sekian lama kau tabur harapan,
Aku hanya memandang sepi,
Aku tahu kau ramai kenalan,
Bukan aku seorang yang bertakhta di hati,
Kau cuba lagi menabur benih harapan,
Aku tidak yakin,
Kerna aku kenal buaya lebih daripada sang rimba


Senyap seribu bahasa,
Tiada khabar,
Aku pula yang ternanti-nanti,
Aku pula yang termangu-mangu seorang diri,
Ingin mencari malu alah,
Tiba pula aku yang tidak keruan

Aku mula mencari, mencuba,
Beri ruang untuk kau menyatakan,
Benar harapan atau palsuan madah

Sampai suatu ketika,
Aku terasa seperti aku yang mengejar,
Mengejar perkara yang tidak pasti,
Aku mulai perlahankan langkah,
Aku cuba terus terang,
Di manakah letaknya aku,
Dalam impian kamu atau mimpi aku

Kau tenang,
Seperti tiada apa,
Kau jujur,
Rupanya bukan aku,
Aku sudah menghidu dari awal perkenalan kita,
Aku cuma manusia tidak berupa,
Tapi aku bersyukur ini anugerah ilahi buatku,
Sebuah kurnia yang tiada ternilai

Aku mula menaruh jarak kata,
Aku akan beransur hilang dari hidup kau,
Lenyap bukan bererti aku musnah,
Aku akan pastikan aku lebih bangkit,
Jauh menuju bintang impian aku,
Terus menggapai bintang kejora,
Takkan lagi menoleh ke mimpi kita.


7 November 2018 1.07Pagi 


Syair : Sepasang Kurung Hijau




Bulan nan indah itu,
Lagi dinantikan daku,
Kini tinggal hanyalah suku,
Ingin menimang bulan baharu.

Sepuluh malam terakhir itu,
Rendah hati memohon kepadamu,
Moga seribu bulan milik kamu,
Milik daku jua ibu.

Aku diam seribu batu,
Usah minta lagikan mahu,
Tuk sepasang kurung baharu,
Kerna inginku hanyalah bersamamu.

Meski ibu memikir selalu,
Mahu berikan kurung itu,
Aku katakan usah perlu,
Kerna kudratmu aku tahu.

Kau mahu aku begitu,
Anggun bagai sang ratu,
Sama persis para laku,
Terhias indah di bulan baharu.


Hari itu aku menunggu,
Kepulanganmu wahai ibu,
Keluh kesah menanti waktu,
Terasa detik berjalan seribu.

Ibu pulang dengan baju,
Sepasang Kurung Hijau baldu,
Disulami renda nan memukau,
Warna pucuk pisang semambu.

Aku tahu ibu mahu,
Aku menyarung baju itu,
Agar aku seperti ratu,
Pada bulan cahaya baharu.

Menitis-nitis permata berkilau,
Yang selama ini aku beku,
Pabila melihat kurung itu,
Aku terpana lagikan kaku.

Ibu senang melihat daku,
Menyarung kurung baharu,
Demi kasihnya pada diriku,
Tetap tunaikan walau berliku.


Khas buat ibuku : Noraini Binti Muhammad Amin
Mac 2017