Lagu :)

15 September 2019

Kehilangan Cumi & Aifa di Sunway Lagoon. Ya Allah..

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera awak semua..

Tajuk pun dah nampak mendebarkan. Mana tidaknya peristiwa ni memang mendebarkan sungguh, tak pernah umur dalam hidup aku ni boleh kehilangan dua orang rakan dalam waktu hampir sejam. Punya kalut, kelam kabut, serba salah, penat dan letih semua bercampur baur.

Terlebih dahulu Nadia nak ceritakan perjalanan ke Sunway Lagoon sebelum peristiwa kehilangan Cumi dan Aifa terjadi.

Seperti biasa kami Bunts Family akan adakan percutian pada awal semester pengajian. Tahun akhir ni kami pilih untuk pergi yang berdekatan sahaja dari UPM. Oh ye mesti korang tertanya-tanya kan? Apa yang dimaksudkan dengan Bunts Family tu? Ianya singkatan perkataan daripada (Belajar Untuk Seronok) hehe. Pada masa-masa yang terluang Nadia akan kongsikan pula lebih lanjut bagaimana tertubuhnya Bunts Family ni ye. Sekarang fokus Sunway Lagoon doluuu. Oh ye, dana untuk ke Sunway Lagoon pula seperti biasa hasil daripada duit bulanan yang dikumpul bersama pada semester sebelumnya. 

1. Tempahan Tiket

Ramai juga pasti tertanya-tanya murah ke tiket Sunway Lagoon ni? Jawapannya ialah sederhana tapi akan jadi lebih murah jika tempahan dibuat secara atas talian. Nadia 'survey' harga dalam laman web Sunway Lagoon sendiri bagi tiket dewasa ialah RM135 jika bayar 'online'. Manakala, RM138 jika dibayar secara 'walk in' atau melalui kaunter di Sunway Lagoon terus sebelum masuk. Cari punya cari, akhirnya Nadia dan Cumi jumpa tiket ke Sunway Lagoon dengan hanya RM120 sahaja seorang menerusi laman web Wonderfly. 

Ni linknya https://www.wonderfly.asia/productDetails/5/sunway_lagoon_malaysia atau korang boleh juga usha laman web https://www.klook.com/en-MY/. Sebelum nak buat tempahan tu pastikan anda bandingkan harga terlebih dahulu. Kedua-dua laman web ni yang paling Nadia percayalah. Yang lain-lain tu belum pasti, tapi kalau korang ada cadangan yang lebih baik boleh komen di bawah ni ye. 

2. Sarapan di Mamak PKS Awesome Serdang

Kami sarapan dalam pukul 8 pagi. Masing-masing lapar maka kena isi perut dulu. Lagipun dekat sana nanti makanan semua mahal-mahal. Tapi kalau dah bekerja ada duit sendiri. Tak salah juga nak makan dekat sana kalau dah lapar sangat kan? Nanti korang sakit perut pulak. Tapi Nadia sarankan untuk korang makan kenyang-kenyang terlebih dahulu sebelum bertolak tu. Sebabnya kalau dah dekat sana, korang akan leka dah, lantaran main macam-macam permainan sampai lupa yang perut juga perlu diisi. Tapi haus tu memang sangat ada, sebabnya korang akan berjalan je pada setiap masa. Naik tangga turun tangga, naik bukit, turun bukit. Maka, korang beli la sorang satu air mineral 1.5 litre letak dalam beg masing-masing sebagai persediaan kalau haus ke apa. 

Pagi tu aku isi perut dengan teh tarik, roti bakar, telur separuh masak 1 set. Telur separuh masak tu memang fav ahhh. Takleh tinggal. Haha. Macam orang nak bina badan je kan gayanya. Tapi bertahan la sampai pukul 8 malam baru makan balik. 

3. Tebus e-tiket Wonderfly Asia di kaunter tiket Sunway Lagoon

Ternyata begitu mudah bila korang beli secara 'online' ni. Tak payah beratur lama-lama sampai kejang kaki. Senang pergi je ke lorong 'Online Ticket' pastu bagi telefon pintar korang tu kepada petugas kaunter dan tunjukkan 'Voucher e-tiket Wonderfly Asia'. Bagi IC sebenar jangan lupa bawa ye, untuk tunjukkan kepada petugas bahawa korang ni warganegara yang sah. Seterusnya diorang akan 'scan' QR Code dan terus keluar tiket tu menerusi mesin khas. Mudah bukan?.

Petugas juga akan bagi sekali korang dengan peta Sunway Lagoon tu. Kalau tak tahu nak pakai tiket Sunway Lagoon macam gelang tu jangan risau. Sebab dekat situ ramai pekerja yang akan tolong pakaikan untuk korang. Maka tinggal tadah tangan je. 

Aku nampaklah sekarang Sunway Lagoon sistem dia dah jauh berubah. Kalau nak dibandingkan waktu 2016 dulu aku pergi. Lama sangat tunggu untuk tebus tiket dan juga tak ada orang pun nak pakaikan kau gelang. Haa pakai jela sendiri walau macam mana pun rupanya. 

Lepas tebus e-ticket korang akan ke kaunter 'spotchek' barang-barang. Sekejap je cek. Lepas tu boleh terus scan tiket yang berupa gelang tu pada pagar automatik. Pastu boleh dah terus enjoy main sampai puas dalam tu. Jangan lupa pula ye dia tutup pukul 6 petang. Tak memasal pulak korang tidur dengan singa lapar malam tuuu gara-gara tak sedar dah malam sebab seronok sangat main tak hengat dunia.

bukan gelang emas. 


4. Zoo di Sunway Lagoon

Dengan ini, aku tak malu untuk mengaku yang ini merupakan kali pertama. Hahaha. Kesian betul. Zoo dia aku suka sebab teratur, haiwannya pun kita boleh pegang dan sentuh serta bagi makanan. Semua bersih. Tak ada yang tak teratur. Kecuali haiwan yang berbahaya sahaja yang kita tak boleh sentuh iaitu seperti Harimau, Singa, gitu laa. Aku suka tengok haiwan dia yang kecil-kecil macam arnab tu memang banyak spesies dan comel-comel belaka.

Gambar sebelah aku tu merupakan no 6 yang merujuk kepada kolej keenam. Kolej keenam dalam kenanganku tetap terselit sekali.


Landak yang pemalu. 

Drama pukul 7, Cik Bunga Matahari dengan Encik Singa. 


5. Kehilangan Cumi dan Aifah

Pada awalnya kami perasan yang Aifah dan Cumi ni ada dekat bahagian cermin ular. Aku pun panggil la dorang untuk naik sekali bukit untuk ke pintu masuk bahagian singa. Rupanya dorang tak ikut sekali. Dorang ni naik tapi lambat sikit. Aku pun pergi je dekat kawasan singa tu lepastu terus pusing balik ke tempat cermin ular tu. Ingatkan dorang masih ada di situ. Tengok-tengok dah tak ada. Fuhhh. Kami pun tunggu punya tunggu hampir 10 minit dorang tak keluar-keluar juga.

Kami pun apa lagi pergi cek semula ke pintu masuk bahagian singa. Tak ada juga. Pergi ke sebelah pintu masuk bahagian harimau pun tak ada. Pergi ke sebelah pintu masuk hutan pun tak ada. Kami pun turun semula ke tempat ular, mana tahu dorang tunggu dekat situ lagi. Sebab bahagian ni macam bahagian utama ke tempat 'wildlife', jadi memang ada kerusi-kerusi banyak dekat situ untuk bersantai-santai. Kami pun tunggu lagi dekat situ. Dah 5 minit pun berlalu. Maka aku dengan kak fatin ambil keputusan untuk pergi kaunter pertanyaan.

Sebelum sampai ke kaunter pertanyaan tu, kami singgah dulu ke tempat duduk berhadapan dengan wayang 5D. Tunggu situ sebab penat berjalan. Mana tahu juga kalau-kalau dorang berdua ni tunggu dekat situ. Sambil tu aku cuba tengok fon kalau-kalau ada orang call. Almaklumla yang bawa fon, aku sorang je, yang lain semua simpan dalam locker sebab tak ada beg kalis air. Aku pun cari doa hilang barang. Baca dengan niat mudah-mudahan jumpa la dengan dua orang ni. 

Seterusnya, kami teruskan perjalanan ke kaunter pertanyaan. Nasib baik ada sorang abang ke pakcik eh nak panggil. Sebab umur dalam lingkungan 40-an gitu. Ikuti perbualan berikut:

Aku: Boleh tak tolong carikan dua orang kawan saya ni hilang dekat zoo.

Pakcik: Boleh. 

Aku: Dekat sini boleh buat announcement tak?

Pakcik: Dekat sini tak ada announcement dik. 

Aku: Ohh, kalau gitu takpe la, carikan je kawan saya dua orang ni dan saya tinggalkan no telefon saya sekali ni.

Pakcik: Ok, Tunjukkan gambar kawan awak yang dua orang tu.

Aku: *Tunjuk gambar kami ambil masa dekat bahagian arnab.*

         
Gambarnya lebih kurang macam ni. Cuma muka Cumi nampak lebih jelas sikit.

Pakcik: *Ambil gambar ni guna fon dia. Lepastu wasap ada 1 team security. Dalam tu dia tulis dalam bahasa inggeris. Two missing person, one named Aida and others named Aifa aged 23 years old. Ni yang aku perasan la dia tulis.*

Yang pasti pakcik tu ada tergelak sikit sebab umur dah 23 tahun, macam mana boleh hilang pula tu. Aduii. Malu juga la. Kerana lalai tak perasan dua orang ni pergi mana. Kebetulan pakcik tu habis taip je umur 23 tahun tu aku ternampak nun jauh ke depan, macam ada orang pakai baju purple tudung coklat kuning cair ni. Aku syak tu Aifa. Aku pun jerit suruh Kak Fatin kejar. Last-last aku pun ikut kejor. Kejor jangan tak kejor Yob. 

Aku pun pecut, rupanya memang betul tu Aifa. Aku pun lari balik tempat tadi. Cakap dengan pakcik tu yang aku dah jumpa dua orang yang hilang ni. Perghh muka masing-masing dah penat campur risau semua. Alhamdulillah dengan izin Allah baca doa tu mujarab sangat. Yang Aida terus cakap dah macam anak hilang mak. Aku apa lagi start membebel cakap, bila orang panggil jangan duduk je satu tempat tu lama-lama, terus je ikut kami. Jangan hilang. Tengok aku jangan tengok benda lain. Haha. Panjang juga la aku ceramah dah macam mak-mak orang. 

Bersyukur juga jumpa sebabnya kalau dorang betul-betul hilang nak ke locker pun dorang tak boleh. Sebab kunci locker ada pada gelang aku. Ianya berupa scanner, kuncinya tu. Duit pun aku yang pegang. Huish silap-silap 1 hari tu tak main apa pun. Duk mencari dua orang berdua ni.

Siasat punya siasat dorang ni rupanya tunggu dekat bahagian Amusement Park. Aiyoo. Jauh dah tuu. Tak adanya kami nak sampai ke sana. Sebab aku dengan kak Fatin ni duk tunggu dekat bahagian zoo sahaja. Aida dan Cumi juga ada minta tolong orang dm private ig aku. Tapi aku mana lah buka data waktu tu. Sebab ingatkan Cumi ingat la no fon aku. Rupanya dua-dua pun sama tak ingat.

Aku sarankan kalau korang pergi tempat macam ni:

1. Ikut dengan rapat 

2. Tulis no telefon pada tangan atau gelang tiket.

3. Jangan lari jauh-jauh

4. Tunggu di kawasan berdekatan yang last korang nampak kawan tu

5. Pergi kaunter pertanyaan untuk minta bantuan.

6. Amusement Park

Aku hanya main yang kerusi laju dan cawan je. Haha kesian kan. Sebab sebelum ni aku dah pernah main semuanya termasuk roller coaster. Entahler rasa malas nak main lagi. Sebabnya yang kapal hayun @ terbalik-terbalik tu aku pernah naik tapi rasa tak selamat. Sebab aku ni rendah je orangnya. Bila pakai 'safety lock' tu, jadi tak berapa nak 'grip'. Yang dulu tu aku naik, pegang dekat pemegang dia tu kuat-kuat sebab takut terjatuh. Serius weh, rasa nak terjatuh sangat. Sejak tu aku taubat tak nak naik dah. Lagi satu mungkin sebab faktor usia yang menjadikan aku lagi malas nak naik. Aku perasan semakin meningkat usia ni semakin tak suka pula naik benda-benda laju ni. Hahaha terus kecut je jantung aku ni. Nanti siapa yang nak tolong pamkan. Link dekat bawah ni korang boleh la tengok apa je permainan yang ada dekat Amusement Park Sunway Lagoon.

Tapi sayang aku tak dapat nak naik permainan kelawar @ burung yang terbang laju-laju tu. Sebab dia tutup waktu tu. Uishh sayang wehh. 



7. Waterpark

Sini paling best. Aku suka ombak dia yang besar tu. Ni kolam renang yang paling besar. Kami siap berendam lama-lama dalam tu. Syok habis. Jumpa pula adik korea yang kecil comel gebu ni duk main dekat-dekat dengan kami. Hehe tapi sayang dia belum pandai bercakap lagi. Aku ni duk la cakap Anyeong~ . Tapi dia senyum jee. 

Jemput tekan link bawah ni untuk tengok betapa seronoknya water park dia nih.



   
Anak-anak kecil.



Dari 1st gambar sorang jenuh aku buh emoji untuk orang ni. 





8. Sunway Pyramid
         
Lepas dah siap main hampir semua permainan. Kami pun bertolak dari Sunway Lagoon ke Sunway Pyramid yang berada hanya di belakang bangunan Sunway Lagoon sekitar jam 6.30 petang. 

Jalan-jalan. Pusing-pusing. Aku tak sangka pula Sunway Pyramid ni besar gilaaa. Sumpah penat weh jalan dalam mall ni. Tapi seronok sebab banyak kedai-kedai popular semua dalam ni. Jadi mudah la korang tak payah nak pergi mall lain dah. Cari semua dekat SINI memang ado. 

Makan makan~~~ Setelah hampir 11 jam tak makan. Aku makan ni je dengan roti Aunt Anne yang cinnamon stick tu, sebab ada promo RM10 get 2. Tu pun dah kenyang. Alhamdulillah. 


Rate Sunway Lagoon: 8.5/10

Rate Sunway Pyramid: 9/10 (sebab semua ada dalam tu senang)


Sekian terima kasih. Jangan lupa follow. Nanti aku follow balik ye. 


10 September 2019

Trip ke Melaka Bersama Tersayang :)

Hai! Assalamualaikum,

Trip ke Melaka bersama tersayang yang dimaksudkan ialah tak lain tak bukan, syurgaku iaitu Mak, Ayah, Kakak, Abang Ezri, dan Adam.

Kami bertolak pada pukul 5 petang, dan tiba di sana lebih kurang pada pukul 8 lebih malam di Parkland Residence Melaka. Malam tu jammed sangat teruk tambah pula kena ambil kunci di pejabat dan bukan di tempat penginapan kami, maka bertambah-tambah la kelewatan untuk sampai ke Parkland.

Apa yang best tentang Parkland Residence ni:

1. Dia berkonsepkan rumah kondominium atau apartment gitu. Dalam rumah tu ada 3 bilik tidur dan dua bilik air.

2. Kawalan keselamatan yang sangat ketat. Sebabnya nak masuk gate utama ke kawasan parking tu pun kena pakai access card, parking pun kena gunakan kawasan parking yang ditetapkan sahaja. Iaitu dua tapak kawasan parking. Untuk masuk ke kawasan lift pun kena pakai access card termasuklah bila nak masuk rumah, dia akan sediakan no pin untuk masuk ke dalam rumah. Macam ala-ala apartment di negara Korea gitu. Hehe jakun la juga memula nak masuk tu bukan main payah lagi. 

3. Bersih dan suasana yang sangat aman dan damai gituu.

4. Ada tempat barbeku, kolam renang, bilik belajar, tempat main snooker, main golf, jakuzi, sauna, gimnasium & tempat bermain (aktivti-aktivti tertentu).

Ni pula antara video yang sempat dirakam, selamat menonton. Video dirakam dengan menggunakan telefon pintar Vivo V5S:






                           

View luar pada waktu malam. Aku nak keluarkan kamera tu pun terketar-ketar. Sebab aku ni jenis ada penyakit takut kalau sesuatu benda yang aku pegang tu, akan jatuh dari tempat yang tinggi. Haaa kecut perut jahh.



Ni pula view waktu siang. Waktu ni dah kelam kabut nak checkout. Jadi sempat ambil dari dalam je. Sebabnya aku duk main kolam renang je lelama. Sampai lupa nak tengok view waktu pagi macam mana pulak. Hehe.



Lampu ikea gituu. Haha lampu pun macam tanglung unik betul. Aku besok kalau ada rumah mesti nak beli benda alah pelik-pelik macam ni. Baru di luar kebiasaan tak gituu. Model tak berbayar aku ler tuuu..



Ni pula ruang televisyen dia. Ada juga free wifi dan NJOI.



Ruang makan makan makan ~~~ 
Mak aku pula siap bawa kopi uncang, kuih bahulu dan gula. Semata-mata nak buat sarapan pagi katanya. Feeling dia lain macam rupanya beli sarapan dekat rumah dengan sarapan dekat sini. Hahaha. Alhamdulillah syukur sangat. Nyaman~~~



Ruang memasak. Dia ada sediakan dapur gas elektrik yang pakai karen tu. Periuk pun ada. Cuma ada 1 jela. Nak lebih aku cadangkan beli dekat WOW Shop atau GoShop alaaa yang ada promosi 3 periuk percuma 10 barang tu. 



Ruang penyidai, dan tong sampah. 



Mesin basuh pun ado. Siap dia sediakan sabun basuh baju lagi. Apa lagi korang boleh la basuh baju yang banyak dengan hanya menggunakan jari dan menekan punat start, auto katakan, kalau mesin basuh manual kau dah penat pastu nak kena hangkut-hangkut baju lagi untuk spin. Penat aihh macam tu. Tinggal tekan, tinggalkan, siap, terus sedia, dah kering, tinggal lipat jeee.


Bilik pertama (Ayah, Mak, Aku & Adam) Masalahnya aku tidurkan Adam kejap je pastu aku ni jenis suka tidur kawasan lengang. Maka aku pun berpindah ke bilik Avengers. Tidur sorang pun takpe janji boleh tidur, Itu yang penting. 


Bilik Avengers yang dimaksudkan. Kau tengok dia punya posing tak lain tak bukan ikut kakak aku la suka posing. 


Master bedroom pula aku tak sempat nak ambil gambar Maaf ye tuan-tuan dan puan-puan. Yang pasti dalam Master bedroom tu ada bilik air, seterika wap, televisyen pun adoo. Dan bilik dia sangat-sangat besar. 

Esok paginya pula, kami gerak pada pukul 9 pagi ke kedai makan Roti Canai Kayu Arang. Perjalanan hanya memakan selama 5 minit sahaja dari kawasan penginapan kami. Memang dekat. Kalau nak ke pusat bandar pun dekat. Pokoknya, nak pergi Aeon Mall Melaka pun dekat. Semua dekat lah. Aku sangat sarankan sesiapa yang berkeluarga tu untuk menyewa di Parkland sebab mudah dekat dengan semua tempat tarikan pelancong di Melaka ni. Takde la banyak buang duit minyak kan?

Gerai ni ramai sangat lagi-lagi bila hujung minggu kan. Untuk siapa yang nak datang sini tu aku nasihat, sebelum nak dapat tempat duduk tu cop terlebih dahulu dengan orang yang tengah makan dekat situ. Cakap elok-elok kita kan orang Malaysia biarlah jadi bangsa yang berbahasa. InshaAllah nanti mesti orang tu dah selesai makan, dia akan terus suruh kita duduk dekat situ.

Sebab apa kena buat macam ni? Sebab korang kena ada tempat duduk terlebih dahulu, baru boleh order makanan. Kalau order satey yang istimewanya, ada 2 orang pembantu kecil yang akan menghantar makanan, comel je adik dua orang ni. Rajin sungguh menolong orang tua dia. Adik ni anak kepada owner kiosk satey. Korang akan nampak macam mana badan dorang yang kecil tu, menatang dulang yang lagi besar dari mereka ni ke hulu ke hilir menghantar makanan.


Roti dol nama diberi. Memang sedap sangat. Aku bagi 5 bintang. 




Ayam gunting kegemaran Cumi. Tapi tanpa Cumi disisi. Hehe jangan marah~~~




 Satey padu padu bak kata cik epal. 1 batang hanya RM1.00. Tapi daging dia besar-besar ibu jari kaki wehhh. Tak rugi. Memang sedap. Tertelan air liur aku ni sambil menaip.



Roti kosong untuk Adam. Roti dia sangat lembut. Kerana dimasak dengan penuh kasih sayang kayu arang sehingga naik menggebu.



Kuih-kuih Melayu ni Rm3.00 sahaja. Bingka ubi dia sedap sangat. Sampai nak nangis rasa bila makan. Aku ni dahla memang pecinta kuih-kuih melayu. Daripada kek aku lebih pilih kuih-muih. Jadi, memang akan aku rembat dulu laa.



Akhir sekali, lepas dah makan-makan kami balik ke Parkland dan bermandi-manda. Tempat kolam renang dia ada tiga bahagian, iaitu bahagian gelongsor, bahagian kanak-kanak dan bahagian kolam dewasa yang tingginya sekitar 1.24m.


Aksi tak berbayar daripada bro Adam.



Ni kakak aku pula yang duk berposing. Kan aku kata Adam ni ikut sebiji ibu dia.Wakakaka.



Ni aku pula posing malu-malu kucing alim. 



Coconut shake beli waktu perjalanan balik perghh memang sedap aihhh.

Parkland Residence: 9/10
Roti Canai Kayu Arang: 8.5


Dah puas bermandi-manda maka kami pun naik ke rumah. Mandi. Kemas-kemas. Checkout. Dan teruskan perjalanan ke UPM. Bermula la pula perjalanan semester 7 aku selaku seorang pelajar tahun akhir di UPM. Wahh cepat je masa berlalu. Doakan aku dan kawan-kawan yang sama batch 16/20 berjaya habiskan program Ijazah dan bergraduat dengan keputusan yang cemerlang.  InshaAllah nanti terus ke alam pekerjaan pulak.


                                                          Sekian. terima kasih sudi baca :) 

10 August 2019

Temuduga Biasiswa Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia



Assalamualaikum w.b.t,

Harini Nadia nak share pasal 'Temuduga Biasiswa Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia'. Macam mana nak mohon?. Bagi melayakkan anda ditemuduga sebagai salah seorang calon, anda dikehendaki untuk mengisi borang Biasiswa Pendidikan KPM terlebih dahulu untuk tujuan permohonan sebelum  anda layak dipilih untuk ke ujian berikutnya (iaitu temuduga yang akan diadakan di IPG kebiasaannya). Kena rajin-rajin pergi laman web KPM. Nadia pula kebetulan ada rakan sekelas yang kongsi kalau tidak, tak tahu juga ada kewujudan badan biasiswa bagi kos pendidikan. Kebiasaannya permohonan akan dibuka pada bulan April atau Mei, kalau Nadia tak silap. Kelayakan pemohon mestilah mendapat pointer 3.5 ke atas dan ibu bapa berpendapatan tidak melebihi rm5000 lebih kurang.

Bagi temuduga BPKPM ni mengandungi tiga bahagian.

1) Ujian UKCG
2) Ujian Kecergasan Fizikal
3) Temuduga Formal

Nadia dapat panggilan temuduga ni masa bulan Ogos sewaktu cuti semester. Persiapan yang Nadia buat ialah menyusun sijil mengikut format yang dikehendaki, membaca serba sedikit tentang isu semasa pendidikan, habiskan baca buku ‘Cikgu Bukan Ultraman’ dan turunkan berat badan untuk capai berat normal (cuma ni tak berapa berjaya, Hahaha). Mungkin sebab Nadia kerja part time waktu tu dan berdiri selama 8 jam lepastu cepat lapar, susah nak kawal makan sebenarnya. Masa ni berat dalam 49kg. Tapi Alhamdulillah nasib baik lepas juga BMI normal sebab Nadia ni rendah je orangnya. Sekarang ni pula senang nak turun cuma bila balik UPM mesti akan naik balik, sebab dekat sana makan tak menentu.

Baiklah berbalik kepada cerita asal.

 1) Ujian UKCG terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama kena jawab dalam masa 30 minit. Bahagian kedua kena jawab dalam masa 15 minit.

Bahagian pertama ada 3 atau 4 piihan jawapan sama ada Ya, Tidak, Tidak pasti lagi 1 tu Nadia lupa sebab dah terlalu lama. Hehe. Bahagian pertama banyak soalan tentang diri kita sama ada kita ni waras atau tidak, dan ada juga soalan-soalan yang mengarah kepada perlakuan sebagai seorang guru. Bahagian pertama juga kena jawab dalam berapa puluhan soalan hampir 100 atau kurang daripada itu.

Bahagian kedua pula sama juga seperti bahagian pertama dari segi pilihan jawapan. Tetapi bahagian kedua ni soalan dia lebih sukar dan lebih kepada memerangkap kita, kerana ada pilihan jawapan tidak sama sekali.  Soalan yang perlu dijawab pula lebih kurang 50 atau lebih.

2) UKF (Ujian Kecergasan Fizikal)
·      Timbang berat badan
·      Jangkauan melunjur
·      Bangkit tubi 
·      Ujian Ketegangan Urat (5 Jenis)
·      Bleep Test (larian ulang alik)

3   3) Temuduga (Ikut kepada jadual yang diberi Nadia punya temuduga selepas ujian kecergasan fizikal, bawalah juga baju kurung untuk tukar masa temuduga) (Sebab ada je yang temuduga dulu baru UKF).

Rupanya semasa taklimat pagi itu, sudah diberitahu tak payah tukar baju tetapi ramai pula yang masih nak tukar baju. Jadi Nadia pun tukar baju kepada baju kurung. Walaupun hakikatnya, badan dah berpeluh-peluh sebab UKF lepastu terus tukar kepada baju kurung. Memang tidak selesa sebenarnya. Tapi redo jelahh.

Sementara menunggu, kami dikehendaki untuk menjawab esei sebanyak lebih kurang 100 patah perkataan. Soalan esei lebih kurang berbunyi macam kenapa kamu perlukan biasiswa. Dan kalau terpilih apa yang hendak kamu lakukan?. Nadia hanya jawab mengikut kehendak hati yang mana terzahir begitu jugalah yang Nadia coretkan di dalam kertas.

Semasa temuduga dijalankan terdapat lebih kurang 8 atau 7 orang dalam 1 bilik. Antara soalan-soalan yang diajukan ialah:

·   Perkenalkan diri
·   Kenapa perlu adanya UKF
·   Apakah personaliti yang melayakkan anda sebagai seorang guru dan seterusnya sebagai pemegang biasiswa
·   Apa yang perlu anda lakukan untuk mengatasi masalah guru yang……..
·   Kenapa kami patut memilih anda sebagai pemegang biasiswa

Pada sesi kedua, kami dikehendaki untuk melakukan perbincangan sesama ahli kumpulan berdasarkan pemilihan sampul yang mengandungi soalan berkaitan kaedah pengajaran dan sistem pendidikan di Malaysia. Pada waktu tu, kami dapat soalan berkaitan ‘Pengajaran Kreatif dan Inovatif’ lebih kurang macam tu soalannya berbunyi. Dia ada terma khusus tapi Nadia lupa apa namanya. Perbincangan diadakan lebih kurang selama kurang daripada 10 minit.

Keseluruhan waktu sesi temuduga ialah selama 40 minit lebih kurang. Lama bukan. Nak jadikan cerita pula sewaktu soalan kedua diajukan. Kami terpaksa menjawab soalan dalam keadaan kipas dan lampu terpadam. Memang gelap dalam tu. Muka penemuduga pun kelihatan samar-samar sahaja. Panas pun jangan cakap la bercampur baur dengan perasaan berdebar lagi, memang kami semua berpeluh-peluh dalam tu.

Alhamdulillah selesai juga sesi temuduga biasiswa pendidikan. Terasa lega sangat dan pada masa yang sama Nadia rasa letih sangat. Sebab temuduga tamat dalam pukul 2.00-2.15 petang macam tu. Rasa pening, loya mungkin sebab perut dah masuk angin. Walaupun pagi tu dah minum roti memang tak cukup. Balik tu juga badan semua sakit dan berjaya tidur dengan lena sekali.

Sewaktu nak semak keputusan tu memang berdebar sangat. Walaupun Nadia rasa harapan tu sangat tipis sebab Nadia banyak buat kesilapan sewaktu UKCG ada bahagian yang Nadia tak sempat jawab. Begitu juga dengan Bleep Test tak berapa nak capai nilai yang sepatutnya. Tapi Ayah dengan Mak selalu cakap kalau ada rezeki dapatlah. InshaAllah. Alhamdulillah itu semua rezeki.

Yang mana bakal menghadiri temuduga biasiswa bersiap sedialah apa yang perlu. Berusaha sehabis baik yang selebihnya doa dan tawakal. Jangan tak datang. Sila hadiri temuduga ni mana tahu rezeki Allah nak bagi. Semoga dipermudahkan segalanya…


       *Maafkan Nadia ye sebab ada beberapa bahagian yang Nadia lupa sebab ambil masa yang lama sangat nak tulis blog ni. Mana taknya temuduga tu pun dah berlaku pada Ogos 2018. Boleh dikatakan genap setahun baru ada masa nak menulis. Hehe. Mana yang terkurang tu atau tersalah maklumat korang boleh betulkan dan komen di bawah. Terimaa kasihh. 



        

8 August 2019

Temuduga Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu di UPM, Serdang

Assalamualaikum w.b.t,

       Tahun 2016, ketika hari kedua atau ketiga (tak ingat sangat sebab dah lama, maaf) umat islam sedang berpuasa. Nadia dapat panggilan temuduga di UPM. Kiranya Nadia lulus Medsi haritu. Alhamdulillah, syukur. Mak dengan ayah yang selalu dorong Nadia suruh pergi juga. Walaupun hakikatnya Nadia rasa masih ragu-ragu waktu tu nak pergi atau tidak. Tapi mak pesan, kita belum cuba belum tahu, mana tahu rezeki kita dekat situ. Dalam hati aku ye tak iya juga eh. Maka aku pun gagahkan diri juga membuat persiapan dari segi mental dan fizikal. Masa tu Nadia masih lagi bekerja part time untuk cari duit poket la katakan sebelum nak masuk universiti. Maka, hari-hariku dengan berbekalkan internet percuma di kedai, aku godeh di google semua kisah tentang temuduga kos pendidikan. 

       Masa tu, tak ada kawan yang dapat saing untuk pergi ke temuduga ni. Jadi hanya usaha dan tawakal sahaja moga ada rezekinya di situ. Seawal 5 pagi dah bangun siap-siap bawa sijil dan berbaju kurung, mata hanya tuhan sahaja yang tahu. Memang mengantuk sebab semalamnya Nadia masih lagi kerja. Dapat cuti 1 hari sahaja untuk pergi temuduga ni. Untung masa tu abang ipar nak tolong drivekan kereta, ditemani kakak, mak, ayah. Semua nak ikut untuk bagi semangat.

       Sepanjang perjalanan tu sudah semestinya Nadia tidur. Hehe. Akibat penat sangat yelah seminggu kerja satu hari je cuti. Dalam kepala otak masa tu ada la ingat sikit-sikit soalan-soalan yang akan ditanya. Nadia dapat temuduga waktu petang pukul 2. Tak ada singgah mana pun singah terus masjid UPM untuk solat disitu, lepastu terus pergi ke DKAP berhampiran dengan Fakulti Pengajian Pendidikan. Mula-mula je masuk kawasan UPM wahh rasa kagum, excited semua ada yelah baru 1st time masuk ke kawasan universiti awam. Masa ni lupa la pula nak ambil gambar. Kalau tak boleh dijadikan kenang-kenangan. *Tapi Nadia memang jenis tak suka ambil gambar sangat, jadi kalau lupa ambil gambar sendiri itu perkara normal*. Sejak dah belajar dekat UPM jumpa kawan-kawan yang rajin bergambar maka secara tidak langsung ada la juga minat nak bergambar. 

          Masuk je kawasan DKAP tu dah nampak ramai orang di kaunter pertanyaan. Masa ni dia dah sediakan senarai nama jadi kita kena ikut senarai nama sekian..sekian akan ditemuduga di bilik yang mana. Masa ni terjumpa Dayah rakan sekelas sekarang di UPM. Sebelum masuk ke bilik yang diarahkan Nadia tunggu dulu di luar bersama-sama calon temuduga yang lain. Masa ni pula terjumpa dengan Kak Sillah yang juga merupakan rakan sekelas Nadia sekarang di UPM. Kemudian, sebelah kanan dan kiri Nadia semasa duduk di luar bilik menunggu masing-masing mempunyai pointer yang tinggi dan ada sijil tebal-tebal malah ada yang sampai 2 dokumen. Yang aku pulak hanya 1 dokumen, rasa insecure je masa tu. Masa ni juga dah baca selawat banyak-banyak dalam hati dengan doa Nabi Yunus a.s iaitu Lailla Anta Subhanaka Inni Kuntum Minazzolimin. Dengar juga cerita dorang ni pun dapat temuduga di UPSI wahhh untungkan. Dapat dua tawaran temuduga dan lagi sorang pula dapat tiga  tawaran temuduga termasuk USM.

           Mereka pun ada tunjukkan transkrip akademik yang dorang dah siapkan. Perghhh ni satu hal aku tak tahu. Rupanya kena buat satu transkrip akademik. Masa ni muka dah cuak dah. Bukan tu je, dorang ni semua dah pakai nametag, kasut hitam bertumit. Aku pula pakai kasut coklat tak bertumit sangat, lepastu tak pakai nametag. Memang buat pasal betul. Dengar-dengar cerita juga rupanya dorang dah dapat tahu prosedur untuk menjalani temuduga ni menerusi group Whatsapp dan ada juga yang kenal daripada Facebook. Hebat tak hebat depa punya geng ni. Hehe. Masa ni dah tawakal jelah. Ada rezeki adalah....

           Seterusnya, giliran kami semua untuk masuk ke bilik menunggu. Nama Nadia disebut sebagai orang yang ketiga untuk dipanggil temuduga. Nadia pun keluar. Kebetulan sebelum nak masuk ke bilik temuduga tu, keluar pula seorang perempuan dari bilik sebelah dengan muka yang sedih dan mengalirkan air mata. Dalam hati aku, ah sudahhhhh. Ada yang tak kena ke ni?.  Nadia pun teruskan misi ke bilik temuduga, memulas tombol pintu dan masuk dengan disertai senyuman dan salam. Di sebelah kanan seorang wanita yang memakai purdah iaitu Dr Suria dan di sebelah kiri Dr Tajul. Bila diarahkan suruh duduk aku pun duduk dengan sopan santunnya. Ewahhhh. 

           Soalan demi soalan yang ditanyakan, jeng, jeng, jeng, (soalannya adalah lebih kurang berbunyi sedemikian, sebab dah lama Nadia pun hanya ingat intinya sahaja) : 

1. Perkenalkan diri awak.

Nadia bagitau nama penuh,tingal di mana, lulusan apa, dan mempunyai berapa orang adik-beradik serta hobi.

2. Hobi suka membaca novel jadi awak pernah baca novel sekian, sekian... la? -Dr Suria

Alamak, tak pernah baca la itu novel. Haiyok tak tahu!. Maka aku pun terangkan yang aku suka baca novel bukan genre fiksyen tapi lebih kepada novel perubatan, pendidikan dan juga islamik. Jawapan selamat hehe. Nasib baik sempat fikir apa nak cakap. Tapi aku memang suka semua novel atau buku yang berasaskan perubatan macam Dr. Anwar Faizal dan banyak lagi juga karya ustaz muda serta cikgu yang sudah berpengalaman mengajar selama bertahun-tahun.

3. Macam mana awak nak tarik orang muda di kawasan luar bandar untuk belajar tentang bahasa Melayu? -Dr Suria

Aku pun jawab dengan mengadakan kempen, ceramah, program serta aktiviti-aktiviti seperti permainan bahasa yang mampu menarik minat perhatian orang muda terutamanya untuk mempelajari Bahasa Melayu. Memastikan aktiviti yang diadakan itu menarik, bermanfaat serta berilmu untuk penduduk di kawasan luar bandar. (Yang pasal kempen, ceramah, program semua tu aku ingat yang Cikgu Maslina ajar waktu aku tingkatan 5, kalau karangan suruh bagi cadangan maka jawab je macam tu, aku pun jadi terikut sampai sekarang, banyak lagi kata kunci dia ajar tapi aku dah lupa hehe).

4. Awak tahu nama dekan Fakulti Pengajian Pendidikan? -Dr Suria

Maaf saya tidak tahu, sebab saya cuba cari di laman web fakulti tetapi tidak menjumpainya. Saya hanya ingat nama Canselor UPM sahaja. Hehe. (Dr Suria dan Dr Tajul macam nak gelak dah tapi mereka tahan sahaja).


5. Siapa nama Canselor UPM? -Dr Suria

Dengan sekali lafaz, aku sebut nama beliau yang panjang lebar tu berserta gelaran sekali. 

6. Boleh awak lakonkan watak seorang buta yang marah kepada Tuhan kerana menjadikan dia buta?-Dr Suria & Dr Tajul.

Boleh saya berdiri? -Dr Tajul, Dr Suria pun mempersilakan.
Buat pertama kali dalam sejarah hidup aku berlakon. Sayang cuma tak ambil video je. Bila ingat balik rasa nak gelak pun ada. Mana taknya. Aku pun berdiri, berjalan ke depan, sambil tangan meraba-raba ke kanan dan kiri seperti orang hilang arah, dan kemudian menjerit.

Ya Allah, kenapa kau buat aku buta!, Sedangkan aku teringin sangat nak lihat awan yang berwarna biru!. Aku.... (lupa apa yang aku merapu). 

(Dah la berlakon masa bulan puasa, berlakon watak marah kepada Tuhan adalah agak awkward disitu. Hehe nasib baik tak keluar bukan-bukan. Istighfar, rasa berdosa kejap hehe. Tapi aku niat hanya untuk dijadikan pengajaran sahaja

7. Awak ni buta akibat accident atau buta sejak lahir? -Dr.Suria

Hmm accident. (Haha, aku gelak dalam hati je).

8. Kalau saya hantar awak belajar di UPM Bintulu awak nak? -Dr Tajul
(Soalan ni saja je nak psiko kita, maka kita sebagai yang ditemuduga harus bijak dan mengatakan yang awak sanggup berserta dengan muka confident itu penting!)

Nak. Boleh saya sanggup.

9. Awak kan anak bongsu nanti mesti nangis nak balik pula, kesian dia. -Dr Suria

Jangan risau saya tak apa-apa saya okay je. (Walhal aku memang okay je sebab masa ni jiwa tengah muda lagi, memang aku sukakan cabaran waktu tu, jadi bila tanya apa-apa pun mesti jawapannya sanggup).

(Lagi 1 aku rasa, aku yang kena tipu hehe sebab kampus UPM di Bintulu katanya hanya ada Diploma betul ke? sampai sekarang pun aku tak pasti. Tapi rasanya betul. Jadi aku sebenarnya sedang diasak sahaja dengan soalan-soalan sedemikian supaya pihak penemuduga dapat melihat ketahanan diri kita yang sebenarnya).

10. What is meaning 'blue' to you? -Dr. Tajul

Dr tanya soalan macam tu mungkin sebab dia tengok aku pakai tudung biru. Baju pink cair, bunga baju kurung pula warna biru. Kan dah mendapat soalan tu. Hehe. Nasib baik Dr tanya soalan macam tu, buatnya dia tanya pasal benda lain dalam bahasa Inggeris aku nak jawab apa. Hahahaha.

Aku pun belasah je jawab. Blue is fun, its make me calm, cool tah apa apa aku jawab lagi tapi tak lama pun. Kejap je.

11. Terima kasih kerana datang, selamat berpuasa, ada rezeki nanti awak dapat la ye.-Dr Suria & Dr Tajul

Aku pun salam Dr Suria dan ucapkan terima kasih dan selamat berpuasa kepada mereka. 

Fuhhh rasa lega gila dah habis. Aku pun terus turun bawah masuk kereta, mak aku cakap eh sekejap nya. Mana taknya, kalau aku dah giliran yang ketiga, mestilah turbo perginya. Hehe. Lepastu terus berdesup pergi ke jalan tar almaklumla ada bazar raya dekat situ.

Sedikit nasihat daripada seorang Nadia mengenai apa-apa jenis temuduga pun yang bakal anda hadapi:

1. Mesti cari maklumat terlebih dahulu. Mungkin lebih afdal cari orang yang sama nak pergi ke temuduga tersebut. Atau cari orang yang berpengalaman mengenai temuduga yang anda bakal hadiri, atau cari sebarang group Whatsapp atau Facebook yang mungkin ada kumpulan tertentu yang bentuk sebuah kumpulan untuk memudahkan perkongsian, maklumat tambahan dan juga info penting.

2. Pakai pakaian yang kemas, tidak terlalu menonjol. Jika pakai warna plain adalah lagi bagus. Lagi bertambah formal.

3. Ingat semua perkara penting atau jawapan-jawapan kepada soalan-soalan HOTS yang boleh penemuduga bertanyakan kepada kita.

4. Jawab dengan confident bukan over confident. Tapi dalam masa yang sama tetap relaks dan cool. Kalau tak tahu nak jawab apa, katakan sahaja minta maaf saya tidak tahu, atau lebih baik saya kurang tahu tentang hal itu tapi saya lebih tahu tentang....Jadi penemuduga tak ada la nak bagi kosong terus, kita akan dapat juga at least 1 poin penting yang boleh kita ajukan. Yang mungkin lebih kurang kepada persoalan yang diajukan kepada kita.

5. Banyakkan membaca tentang isu semasa. Kalau sedang temuduga tentang pendidikan pastikan anda tahu juga serba sedikit tentang isu yang sedang berbangkit berkaitan dunia pendidikan. Baca suratkhabar, buku pengetahuan ilmiah yang berkaitan. Jadi bila suruh diberikan pendapat atau cadangan kita boleh juga memetik kata-kata seseorang yang tokoh yang terkenal dalam bidang tersebut. Atau mungkin mengingat data atau peratusan tentang sesuatu kajian oleh seorang penyelidik. (Barulah penemuduga akan nampak bahawa kita sememangnya bersedia dan suka menambah ilmu pengetahuan).

6. Tunjukkan minat kepada setiap soalan yang diajukan.

7. Jangan duduk selagi tidak disuruh atau minta izin sebelum nak duduk di atas kerusi.

8. Sentiasa tersenyum. 

9. Tetap hadir ke temuduga. Sebab mana tahu itu merupakan rezeki kita. Walaupun rasa macam masih belum bersedia. Tapi kita nak tunggu sampai bila. Itu semua kuasa Allah. Mungkin itu merupakan masa yang sesuai buat kita dan kita pula yang terpilih pada masa tu. Mana tahu. 

10. Usaha, doa, tawakal dan restu daripada mak, ayah, suami/ isteri jika sudah berkahwin, ahli keluarga, sahabat. 


Bye. Semoga bermanfaat buat kalian :)

7 August 2019

Musa vs Firaun karya Amanullah Halim

Assalamualaikum w.b.t,

Baiklah harini Nadia nak ulas serba sedikit tentang buku 'Musa vs Firaun' karya Amanullah Halim. Ini pertama kali Nadia beli karya Amanullah Halim selalunya kalau buku yang bergenre islamik mesti akan beli sama ada daripada penulis Abdul Latip Talib atau Muhammad Alexander. 

Kulit muka hadapan 

Kulit Muka Belakang

Bilangan muka surat: 326


Antara fakta yang menarik dalam buku ini ialah:(Amanullah Halim, 2015)

1. Nabi Musa a.s telah dilahirkan pada tahun terjadinya pembunuhan kepada bayi-bayi lelaki yang dilahirkan oleh wanita Ibrani atas perintah Firaun. Firaun berbuat demikian kerana telah mendapat sebuah mimpi yang dahsyat dan pendeta meramalkan bahawa mimpi itu merupakan petanda akan lahirnya seorang bayi lelaki dalam kalangan orang Israel.

2. Maka Allah anugerahkan ilham kepada ibu Musa supaya jangan membunuh anaknya akan tetapi menghanyutkan anaknya di sungai selepas diletakkan anak tersebut di dalam sebuah peti. Sepertimana dalam surah Al-Qasas ayat 7 dan surah Taha ayat 38 dan 39. (boleh rujuk dalam Al-Quran anda menceritakan dengan lebih terperinci)

3. Namun begitu, isteri Firaun yang sangat mahukan seorang bayi lelaki menjumpai Musa a.s di dalam sebuah peti yang telah dihanyutkan dan mengambilnya sebagai anak angkat. Walaupun hakikatnya Firaun tidak berapa menyukai bayi tersebut.

4. Kakak Musa a.s mengetahui bahawa Musa telah diambil oleh isteri Firaun sebagai anak angkat kerana telah melihat dan mengikuti ke mana arah peti tersebut dihanyutkan. Kakak Musa a.s mendapat tahu bahawa isteri Firaun mencari ibu susuan kepada adiknya. Musa a.s telah dijumpakan dengan ibu susuan yang lain akan tetapi Musa tetap tidak mahu menyusu dan menangis tanpa henti. Maka kakak Musa a.s menawarkan kepada isteri Firaun bahawa dia mengenali seorang wanita yang boleh menyusukan bayi tersebut. Wanita tersebut ialah ibu kandung kepada Musa a.s. (rujuk surah Al-Qasas ayat 12).

5. Nama Nabi Musa a.s diambil sempena bahasa Ibrani iaitu masya (dibaca mosye) yang bererti mengambil daripada air. Dalam bahasa Mesir mose pula bermaksud anak lelaki.

6. Tongkat yang berada dalam genggaman Nabi Musa a.s mendatangkan pelbagai azab ke atas Firaun dan penduduk negeri Mesir dan mengeluarkan air dari batu cadas. 

7. Mukjizat Musa a.s yang lain ada diceritakan dalam surah Taha ayat 22, surah Al-Qasas ayat 32, surah Taha ayat 22, surah An-Naml ayat 12, surah Asy-Syu'arak, ayat 32)

8. Musa a.s mahu menjadikan Harun iaitu abangnya sebagai pembantu dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun kerana baginya Harun lebih mempunyai sifat kesantunan berbanding dirinya.

9. Qarun juga merupakan kaum Nabi Musa a.s sepertimana dalam surah Al-Qasas, ayat 76.

10. Hentaman air yang dahsyat dan genggaman tangan Firaun yang kuat mencengkam perisai, menyebabkan terjadinya kontraksi hebat pada otot lengan kiri. Itu tidak mengubah posisi lengan dalam keadaan setengah terangkat sehingga dia mati. (Nak tahu macam mana peristiwa Firaun tenggelam bersama-sama bala tenteranya maka kenalah beli buku ni).

11. Nabi Musa a.s dikatakan wafat pada usianya 120 tahun.

Penulis ni memang terbaik sebab berjaya menyingkap kisah agung yang terjadi antara Nabi Musa a.s dan juga Firaun. Ringkas, padat dan pada masa yang sama ada bukti yang sahih. Selamat membaca !