Lagu :)

8 August 2019

Temuduga Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu di UPM, Serdang

Assalamualaikum w.b.t,

       Tahun 2016, ketika hari kedua atau ketiga (tak ingat sangat sebab dah lama, maaf) umat islam sedang berpuasa. Nadia dapat panggilan temuduga di UPM. Kiranya Nadia lulus Medsi haritu. Alhamdulillah, syukur. Mak dengan ayah yang selalu dorong Nadia suruh pergi juga. Walaupun hakikatnya Nadia rasa masih ragu-ragu waktu tu nak pergi atau tidak. Tapi mak pesan, kita belum cuba belum tahu, mana tahu rezeki kita dekat situ. Dalam hati aku ye tak iya juga eh. Maka aku pun gagahkan diri juga membuat persiapan dari segi mental dan fizikal. Masa tu Nadia masih lagi bekerja part time untuk cari duit poket la katakan sebelum nak masuk universiti. Maka, hari-hariku dengan berbekalkan internet percuma di kedai, aku godeh di google semua kisah tentang temuduga kos pendidikan. 

       Masa tu, tak ada kawan yang dapat saing untuk pergi ke temuduga ni. Jadi hanya usaha dan tawakal sahaja moga ada rezekinya di situ. Seawal 5 pagi dah bangun siap-siap bawa sijil dan berbaju kurung, mata hanya tuhan sahaja yang tahu. Memang mengantuk sebab semalamnya Nadia masih lagi kerja. Dapat cuti 1 hari sahaja untuk pergi temuduga ni. Untung masa tu abang ipar nak tolong drivekan kereta, ditemani kakak, mak, ayah. Semua nak ikut untuk bagi semangat.

       Sepanjang perjalanan tu sudah semestinya Nadia tidur. Hehe. Akibat penat sangat yelah seminggu kerja satu hari je cuti. Dalam kepala otak masa tu ada la ingat sikit-sikit soalan-soalan yang akan ditanya. Nadia dapat temuduga waktu petang pukul 2. Tak ada singgah mana pun singah terus masjid UPM untuk solat disitu, lepastu terus pergi ke DKAP berhampiran dengan Fakulti Pengajian Pendidikan. Mula-mula je masuk kawasan UPM wahh rasa kagum, excited semua ada yelah baru 1st time masuk ke kawasan universiti awam. Masa ni lupa la pula nak ambil gambar. Kalau tak boleh dijadikan kenang-kenangan. *Tapi Nadia memang jenis tak suka ambil gambar sangat, jadi kalau lupa ambil gambar sendiri itu perkara normal*. Sejak dah belajar dekat UPM jumpa kawan-kawan yang rajin bergambar maka secara tidak langsung ada la juga minat nak bergambar. 

          Masuk je kawasan DKAP tu dah nampak ramai orang di kaunter pertanyaan. Masa ni dia dah sediakan senarai nama jadi kita kena ikut senarai nama sekian..sekian akan ditemuduga di bilik yang mana. Masa ni terjumpa Dayah rakan sekelas sekarang di UPM. Sebelum masuk ke bilik yang diarahkan Nadia tunggu dulu di luar bersama-sama calon temuduga yang lain. Masa ni pula terjumpa dengan Kak Sillah yang juga merupakan rakan sekelas Nadia sekarang di UPM. Kemudian, sebelah kanan dan kiri Nadia semasa duduk di luar bilik menunggu masing-masing mempunyai pointer yang tinggi dan ada sijil tebal-tebal malah ada yang sampai 2 dokumen. Yang aku pulak hanya 1 dokumen, rasa insecure je masa tu. Masa ni juga dah baca selawat banyak-banyak dalam hati dengan doa Nabi Yunus a.s iaitu Lailla Anta Subhanaka Inni Kuntum Minazzolimin. Dengar juga cerita dorang ni pun dapat temuduga di UPSI wahhh untungkan. Dapat dua tawaran temuduga dan lagi sorang pula dapat tiga  tawaran temuduga termasuk USM.

           Mereka pun ada tunjukkan transkrip akademik yang dorang dah siapkan. Perghhh ni satu hal aku tak tahu. Rupanya kena buat satu transkrip akademik. Masa ni muka dah cuak dah. Bukan tu je, dorang ni semua dah pakai nametag, kasut hitam bertumit. Aku pula pakai kasut coklat tak bertumit sangat, lepastu tak pakai nametag. Memang buat pasal betul. Dengar-dengar cerita juga rupanya dorang dah dapat tahu prosedur untuk menjalani temuduga ni menerusi group Whatsapp dan ada juga yang kenal daripada Facebook. Hebat tak hebat depa punya geng ni. Hehe. Masa ni dah tawakal jelah. Ada rezeki adalah....

           Seterusnya, giliran kami semua untuk masuk ke bilik menunggu. Nama Nadia disebut sebagai orang yang ketiga untuk dipanggil temuduga. Nadia pun keluar. Kebetulan sebelum nak masuk ke bilik temuduga tu, keluar pula seorang perempuan dari bilik sebelah dengan muka yang sedih dan mengalirkan air mata. Dalam hati aku, ah sudahhhhh. Ada yang tak kena ke ni?.  Nadia pun teruskan misi ke bilik temuduga, memulas tombol pintu dan masuk dengan disertai senyuman dan salam. Di sebelah kanan seorang wanita yang memakai purdah iaitu Dr Suria dan di sebelah kiri Dr Tajul. Bila diarahkan suruh duduk aku pun duduk dengan sopan santunnya. Ewahhhh. 

           Soalan demi soalan yang ditanyakan, jeng, jeng, jeng, (soalannya adalah lebih kurang berbunyi sedemikian, sebab dah lama Nadia pun hanya ingat intinya sahaja) : 

1. Perkenalkan diri awak.

Nadia bagitau nama penuh,tingal di mana, lulusan apa, dan mempunyai berapa orang adik-beradik serta hobi.

2. Hobi suka membaca novel jadi awak pernah baca novel sekian, sekian... la? -Dr Suria

Alamak, tak pernah baca la itu novel. Haiyok tak tahu!. Maka aku pun terangkan yang aku suka baca novel bukan genre fiksyen tapi lebih kepada novel perubatan, pendidikan dan juga islamik. Jawapan selamat hehe. Nasib baik sempat fikir apa nak cakap. Tapi aku memang suka semua novel atau buku yang berasaskan perubatan macam Dr. Anwar Faizal dan banyak lagi juga karya ustaz muda serta cikgu yang sudah berpengalaman mengajar selama bertahun-tahun.

3. Macam mana awak nak tarik orang muda di kawasan luar bandar untuk belajar tentang bahasa Melayu? -Dr Suria

Aku pun jawab dengan mengadakan kempen, ceramah, program serta aktiviti-aktiviti seperti permainan bahasa yang mampu menarik minat perhatian orang muda terutamanya untuk mempelajari Bahasa Melayu. Memastikan aktiviti yang diadakan itu menarik, bermanfaat serta berilmu untuk penduduk di kawasan luar bandar. (Yang pasal kempen, ceramah, program semua tu aku ingat yang Cikgu Maslina ajar waktu aku tingkatan 5, kalau karangan suruh bagi cadangan maka jawab je macam tu, aku pun jadi terikut sampai sekarang, banyak lagi kata kunci dia ajar tapi aku dah lupa hehe).

4. Awak tahu nama dekan Fakulti Pengajian Pendidikan? -Dr Suria

Maaf saya tidak tahu, sebab saya cuba cari di laman web fakulti tetapi tidak menjumpainya. Saya hanya ingat nama Canselor UPM sahaja. Hehe. (Dr Suria dan Dr Tajul macam nak gelak dah tapi mereka tahan sahaja).


5. Siapa nama Canselor UPM? -Dr Suria

Dengan sekali lafaz, aku sebut nama beliau yang panjang lebar tu berserta gelaran sekali. 

6. Boleh awak lakonkan watak seorang buta yang marah kepada Tuhan kerana menjadikan dia buta?-Dr Suria & Dr Tajul.

Boleh saya berdiri? -Dr Tajul, Dr Suria pun mempersilakan.
Buat pertama kali dalam sejarah hidup aku berlakon. Sayang cuma tak ambil video je. Bila ingat balik rasa nak gelak pun ada. Mana taknya. Aku pun berdiri, berjalan ke depan, sambil tangan meraba-raba ke kanan dan kiri seperti orang hilang arah, dan kemudian menjerit.

Ya Allah, kenapa kau buat aku buta!, Sedangkan aku teringin sangat nak lihat awan yang berwarna biru!. Aku.... (lupa apa yang aku merapu). 

(Dah la berlakon masa bulan puasa, berlakon watak marah kepada Tuhan adalah agak awkward disitu. Hehe nasib baik tak keluar bukan-bukan. Istighfar, rasa berdosa kejap hehe. Tapi aku niat hanya untuk dijadikan pengajaran sahaja

7. Awak ni buta akibat accident atau buta sejak lahir? -Dr.Suria

Hmm accident. (Haha, aku gelak dalam hati je).

8. Kalau saya hantar awak belajar di UPM Bintulu awak nak? -Dr Tajul
(Soalan ni saja je nak psiko kita, maka kita sebagai yang ditemuduga harus bijak dan mengatakan yang awak sanggup berserta dengan muka confident itu penting!)

Nak. Boleh saya sanggup.

9. Awak kan anak bongsu nanti mesti nangis nak balik pula, kesian dia. -Dr Suria

Jangan risau saya tak apa-apa saya okay je. (Walhal aku memang okay je sebab masa ni jiwa tengah muda lagi, memang aku sukakan cabaran waktu tu, jadi bila tanya apa-apa pun mesti jawapannya sanggup).

(Lagi 1 aku rasa, aku yang kena tipu hehe sebab kampus UPM di Bintulu katanya hanya ada Diploma betul ke? sampai sekarang pun aku tak pasti. Tapi rasanya betul. Jadi aku sebenarnya sedang diasak sahaja dengan soalan-soalan sedemikian supaya pihak penemuduga dapat melihat ketahanan diri kita yang sebenarnya).

10. What is meaning 'blue' to you? -Dr. Tajul

Dr tanya soalan macam tu mungkin sebab dia tengok aku pakai tudung biru. Baju pink cair, bunga baju kurung pula warna biru. Kan dah mendapat soalan tu. Hehe. Nasib baik Dr tanya soalan macam tu, buatnya dia tanya pasal benda lain dalam bahasa Inggeris aku nak jawab apa. Hahahaha.

Aku pun belasah je jawab. Blue is fun, its make me calm, cool tah apa apa aku jawab lagi tapi tak lama pun. Kejap je.

11. Terima kasih kerana datang, selamat berpuasa, ada rezeki nanti awak dapat la ye.-Dr Suria & Dr Tajul

Aku pun salam Dr Suria dan ucapkan terima kasih dan selamat berpuasa kepada mereka. 

Fuhhh rasa lega gila dah habis. Aku pun terus turun bawah masuk kereta, mak aku cakap eh sekejap nya. Mana taknya, kalau aku dah giliran yang ketiga, mestilah turbo perginya. Hehe. Lepastu terus berdesup pergi ke jalan tar almaklumla ada bazar raya dekat situ.

Sedikit nasihat daripada seorang Nadia mengenai apa-apa jenis temuduga pun yang bakal anda hadapi:

1. Mesti cari maklumat terlebih dahulu. Mungkin lebih afdal cari orang yang sama nak pergi ke temuduga tersebut. Atau cari orang yang berpengalaman mengenai temuduga yang anda bakal hadiri, atau cari sebarang group Whatsapp atau Facebook yang mungkin ada kumpulan tertentu yang bentuk sebuah kumpulan untuk memudahkan perkongsian, maklumat tambahan dan juga info penting.

2. Pakai pakaian yang kemas, tidak terlalu menonjol. Jika pakai warna plain adalah lagi bagus. Lagi bertambah formal.

3. Ingat semua perkara penting atau jawapan-jawapan kepada soalan-soalan HOTS yang boleh penemuduga bertanyakan kepada kita.

4. Jawab dengan confident bukan over confident. Tapi dalam masa yang sama tetap relaks dan cool. Kalau tak tahu nak jawab apa, katakan sahaja minta maaf saya tidak tahu, atau lebih baik saya kurang tahu tentang hal itu tapi saya lebih tahu tentang....Jadi penemuduga tak ada la nak bagi kosong terus, kita akan dapat juga at least 1 poin penting yang boleh kita ajukan. Yang mungkin lebih kurang kepada persoalan yang diajukan kepada kita.

5. Banyakkan membaca tentang isu semasa. Kalau sedang temuduga tentang pendidikan pastikan anda tahu juga serba sedikit tentang isu yang sedang berbangkit berkaitan dunia pendidikan. Baca suratkhabar, buku pengetahuan ilmiah yang berkaitan. Jadi bila suruh diberikan pendapat atau cadangan kita boleh juga memetik kata-kata seseorang yang tokoh yang terkenal dalam bidang tersebut. Atau mungkin mengingat data atau peratusan tentang sesuatu kajian oleh seorang penyelidik. (Barulah penemuduga akan nampak bahawa kita sememangnya bersedia dan suka menambah ilmu pengetahuan).

6. Tunjukkan minat kepada setiap soalan yang diajukan.

7. Jangan duduk selagi tidak disuruh atau minta izin sebelum nak duduk di atas kerusi.

8. Sentiasa tersenyum. 

9. Tetap hadir ke temuduga. Sebab mana tahu itu merupakan rezeki kita. Walaupun rasa macam masih belum bersedia. Tapi kita nak tunggu sampai bila. Itu semua kuasa Allah. Mungkin itu merupakan masa yang sesuai buat kita dan kita pula yang terpilih pada masa tu. Mana tahu. 

10. Usaha, doa, tawakal dan restu daripada mak, ayah, suami/ isteri jika sudah berkahwin, ahli keluarga, sahabat. 


Bye. Semoga bermanfaat buat kalian :)

1 comment:

  1. wah sis! thanks ya untuk tipsnya.. jumpa sem 7 nanti :D

    ReplyDelete