Pada realitinya memang tidak dinafikan
bahawa Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai sumber semula jadi yang
berpotensi dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Oleh hal yang demikian, sektor
pelancongan merupakan sektor yang amat signifikan dalam meraih pendapatan
negara. Bukan itu sahaja, kerajaan turut memainkan peranan apabila mula
mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990. Hal ini menunjukkan
bahawa kerajaan semakin cakna kepada industri pelancongan kerana langkah ini
berpotensi memajukan ekonomi negara. Bahkan, setiap tahun bilangan pelancong
yang datang melawat Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Buktinya,
ramai pelancong sama ada dari luar dan dalam negara lebih memilih negara kita
sebagai destinasi pelancongan mereka. Hal ini demikian kerana Malaysia
merupakan negara yang tersenarai sebagai sebuah negara yang aman, damai dan
harmoni. Sekali gus, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang mempunyai
rakyat yang berbilang kaum dan tinggal di bawah satu bumbung yang sama. Namun
persoalannya adalah apakah sebenarnya kepentingan sektor pelancongan kepada
rakyat dan juga negara kita?
Salah satu daripada kepentingan sektor
pelancongan ialah kita dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Hal
ini berlaku apakala, ramai penganggur lepasan siswazah, siswa serta Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mendapat pekerjaan sejurus menamatkan
pembelajaran di universiti mahupun sekolah menengah. Bahkan, peluang pekerjaan
dalam sektor pelancongan ini dianggarkan hampir sejuta orang pekerja yang
hendak diperlukan. Peluang pekerjaan yang heterogen dalam sektor pelancongan
ini terdiri daripada bidang pembinaan tempat-tempat pelancongan dan
perkhidmatan perhotelan. Oleh hal yang demikian, penganggur haruslah merebut
peluang pekerjaan ini kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak
datang melayang. Bukan sahaja, dapat mengurangkan kadar pengangguran di
Malaysia malahan menambah pendapatan rakyat yang sedia menganggur apabila
mendapat pekerjaan. Rakyat yang mempunyai pekerjaan dan pendapatan secara tidak
langsung mereka akan dapat menyara diri dan keluarga mereka. Hal ini sekali gus
dapat menaikkan taraf hidup rakyat dengan pendapatan yang konkrit. Lantaran
itu, rakyat perlu berusaha mendapatkan pekerjaan dengan memanfaatkan imperatif
industri pelancongan untuk mendapatkan pekerjaan dan seterusnya memajukan
industri pelancongan negara.
Selain itu,sektor pelancongan juga
dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran mata wang asing masuk ke
negara kita. Hal ini tercetus apakala, pelancong yang hadir dari luar negara
terpaksa menukar mata wang asing mereka kepada mata wang ringgit Malaysia
sebelum boleh berbelanja di negara kita. Pertukaran mata wang dapat dilakukan
dengan mudah melalui proses pertukaran mata wang di bank tempatan mahupun di
pusat pertukaran mata wang asing yang berada di Malaysia. Walau bagaimanapun,
mata wang asing ini turut diperlukan dan disimpan untuk kegunaan ketika negara
membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Bahkan, peniaga mata
wang asing dan juga pihak bank juga memperolehi faedah dan keuntungan daripada
perniagaan yang dijalankan oleh mereka. Hal ini dapat dibuktikan kebenarannya
melalui keuntungan entiti perniagaan yang diperolehi daripada perniagaan
pertukaran mata wang asing yang dapat digunakan untuk membeli barangan
keperluan asasi rakyat tempatan dari luar negara. Hal ini justeru bukan mudah
untuk dipertingkatkan ke tahap iktisad yang kukuh namun dengan kekongkalikungan
ramai pihak maka usaha ini akan terlaksana dengan mudah, Tegasnya, sektor
pelancongan merupakan cerucuk iktisad yang paling utama dalam meningkatkan
ekonomi negara.
Seterusnya, memang tidak dapat
dinafikan bahawa sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang
mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri di pentas dunia. Hal ini
demikian kerana Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan etnik seperti
Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Melanau dan sebagainya. Bagi membuktikan
perkara contoh yang boleh diketengahkan ialah melalui adat resam, budaya dan
cara pemakanan yang berbeza serta pemakaian baju tradisional juga yang berbeza
mampu menarik minat pelancong asing. Adat resam di Malaysia telah diamalkan sejak
turun-temurun. Senario ini sama persis peribahasa biar mati anak jangan mati
bapak. Malahan, sektor pelancongan ini juga dapat mempromosikan warisan budaya
yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Persembahan kesenian tradisional
misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang.
Manakala, permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak,
batu seremban dan lain-lain. Oleh itu, sektor pelancongan sememangnya dapat
memperkenalkan budaya Malaysia ke seantero dunia.
Selanjutnya, sektor pelancongan juga
dapat memajukan industri kraf tangan di Malaysia. Hal ini demikian kerana
barangan kraf tangan rakyat diperbuat dengan halus dan teliti bahkan bermutu
tinggi. Di samping, harga yang ditawarkan juga murah dan berpatutan yang mampu
dibeli oleh pelancong. Sebagaimana yang kita sedia maklum barangan kraf tangan
ini diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca, rotan dan kulit
amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai untuk dijadikan ole-ole buat rakan
atau keluarga mereka. Seterusnya, pelancong yang berminat dengan kraf tangan
ini justeru akan membelinya sejurus melihat kepada reka bentuk dan harga yang murah.
Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industry kraf
tangan malah menjadi periuk nasi kepada pengusaha dan pembuat barangan kraf
tangan ini. Bahkan, sempena Tahun Melawat Terengganu, industri pembuatan batik
Terengganu semakin mendapat sambutan dan popular dalam kalangan pelancong luar.
Dengan ini, sektor pelancongan sememangnya merupakan wahana penting untuk membangunkan
dan memajukan industri kraf tangan di Malaysia.
Seiring dengan itu, sektor pelancongan
membuahkan hasil dalam mempertingkatkan bidang perniagaan di Malaysia. Hal ini
tercetus apakala, pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat
penginapan, makanan, minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong
dan sebagainya. Sementara itu, pelancong asing juga amat menggemari makanan
tradisional Melayu, India,Cina dan masakan kaum lain yang heterogen dan
enak-enak belaka. Pelancong asing hanya perlu memilih sahaja mahu menikmati
makanan di mana, sama ada di medan selera, kedai, warung kampung, tepi jalan,
mahupun di hotel bertaraf lima bintang yang berhawa dingin lagi selesa.
Tamsilnya, bagi pelancong yang berminat untuk menikmati hidangan makanan laut
di restoran yang didirikan secara terapung di atas air juga terdapat di
Malaysia. Hal ini bakal membuatkan pelancong berasa nyaman dengan menghirup
udara segar dan melihat panorama indah di tepi laut sambil menikmati hidangan
yang dihidangkan. Bahkan, permintaan tinggi terhadap pusat-pusat penginapan
juga giat dibangunkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan terutamanya di
kawasan bandar. Misalnya, di Malaysia pelancong diberi pilihan untuk menginap
di hotel bertaraf lima bintang, resort atau homestay yang diberi pakej seperti
Eco-Tourism Malaysia. Hal ini justeru membolehkan pelancong menginap dan
mempelajari cara hidup masyarakat Malaysia seperti cara bertutur, berpakaian,
makanan tradisional serta lain-lain lagi. Pendek kata, sektor pelancongan dapat
memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga yang ringan tulang.
Sementara itu, sektor pelancongan
turut dapat memperkenalkan Malaysia ke seantero dunia. Hal ini demikian kerana
Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati. Misalnya, bandar
bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Di Melaka, pelancong boleh melawati
Kota A’ Famosa selain melihat Muzium Melaka serta tempat beriadah seperti
Bandar Cowboy, Dunia Bintang Safari dan Dunia Air. Hal ini justeru sesuai untuk
semua peringkat umur tidak mengira kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
Tempat-tempat menarik seperti ini bukan sahaja bersejarah malah dapat
menambahkan ilmu pengetahuan kepada pelancong dan beriadah bersama keluarga
atau rakan-rakan. Persis peribahasa jauh perjalanan, luas pemandangan. Bahkan,
melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang sejak Sukan
Komanwel 1998 dapat mempopularkan negara kita melalui tarikan pelancong luar
yang merupakan peminat dalam sukan ini. Seterusnya, membuktikan bahawa Malaysia
mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang dilengkapi dengan
pelbagai kemudahan. Konklusinya, sektor pelancongan amat efektif dalam
memperkenalkan Malaysia ke seantero dunia dan sekali gus merealisasikan
aspirasi Malaysia sebagai negara yang dinamis.
Tuntasnya, imperatif sektor
pelancongan banyak memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada negara
terutamanya dari segi pendapatan dan ekonomi negara yang stabil. Bahkan, rakyat
Malaysia perlulah melakukan anjakan paradigma untuk memajukan negara terutama
dalam sektor pelancongan. Hal ini adalah untuk imperatif Malaysia sendiri agar
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara yang membangun. Namun demikian,
komitmen menyeluruh semua pihak amatlah membantu untuk mengembangkan industri pelancongan
negara kita. Dengan kata lain, agar Malaysia dikenal di seluruh pelosok dunia
mahupun global. Malah, kita harus menggunakan kelebihan yang ada di negara kita
dengan sepenuhnya supaya negara kita menjadi pusat pelancongan yang terkenal di
dunia. Bahkan, rakyat Malaysia patut berbangga dengan pencapaian negara
sehingga kini. Generalisasinya, rakyat yang berbilang kaum walau bagaimanapun
harus bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjulang nama Malaysia ke
puncak jagat.
KOSA KATA MENARIK:
Imperatif = penting, mesti dipatuhi, memerlukan perhatian segera
Heterogen = pelbagai, berbagai
Entiti = mempunyai kewujudannya yang tersendiri
Iktisad = ekonomi
Kekongkalikungan = bersekutu
Senario = urutan peristiwa
Sentero = seluruh, segenap
Wahana = alat
Dinamik = bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta
menerbitkan pembaharuan dan kemajuan.
Aspirasi = keinginan yang kuat, cita-cita
Anjakan Paradigma = peralihan atau perubahan daripada sesuatu keadaan
Generalisasinya = kesimpulan umum
-2013-
No comments:
Post a Comment