Lagu :)

18 July 2020

CARA MENGEKALKAN TAHAP DISIPLIN DALAM KALANGAN MURID 2013

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia mengenai tahap disiplin dalam kalangan murid. Menurut Kamus Dewan disiplin didefinisikan sebagai suatu latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib. Hal ini adalah kerana disiplin merupakan wahana penting untuk membentuk sahsiah seseorang itu, Seterusnya, pelbagai usaha haruslah dilaksanakan untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid di sekolah. Hal ini penting dalam melahirkan modal insan yang berwawasan dan cemerlang dari segi sahsiah diri. Sebagai contohnya, murid yang berwawasan dan mempunyai tatatertib yang tinggi akan berkebolehan dalam menghasilkan produktiviti yang cemerlang dalam pelajaran mahupun kerjayanya. Hal ini persis dengan kata Professor Muhaya yang pernah mengatakan orang yang berdisiplin dalam kehidupannya akan berupaya membina impian masa depan yang gemilang. Lantaran itu, semua pihak dan murid perlu mengambil langkah sederap untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid.

Selain itu, suatu prakarsa perlu dilakukan untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid adalah dengan mematuhi peraturan sekolah. Peraturan sekolah amat signifikan untuk dipatuhi oleh semua murid yang bersekolah bagi melahirkan murid yang berdisiplin. Hal ini demikian kerana peraturan sekolah merangkumi banyak perkara seperti peraturan waktu persekolahan, pakaian, kerja-kerja sekolah, kekemasan diri dan sebagainya. Tamsilnya, peraturan mengenai waktu persekolahan yang ditetapkan oleh pihak sekolah seperti waktu rehat, waktu petang, waktu pulang dari sekolah, waktu kemasukan sekolah dan lain-lain lagi. Jika murid tersebut melanggar waktu persekolahan yang telah ditetapkan maka denda akan dikenakan kepada murid tersebut. Hal ini dilaksanakan adalah untuk mendisiplinkan murid agar sentiasa mematuhi waktu persekolahan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Malahan, dari segi kekemasan diri pula seperti kekemasan pada rambut murid, kuku dan lain-lain. Kekemasan pada rambut murid tidak mengira lelaki dan perempuan terutama murid lelaki yang suka membuat stail rambut yang tersendiri serta malas memotong rambut. Manakala murid perempuan cina yang suka membuat stail rambut yang menutup dahi hal ini tidak digalakkan oleh pihak sekolah kerana dikhuatiri murid akan sukar untuk menjalani proses pembelajaran. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mematuhi peraturan sekolah merupakan prakarsa yang positif dan efektif untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid. Sekali gus, murid harus mengorak langkah bagi merealisasikan prakarsa ini.

Tambahan pula, dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform, sukan permainan, kelab persatuan dan melibatkan diri dalam aktiviti luar. Hal ini penting supaya murid tidak seperti burung dalam sangkar, mata lepas badan terkurung. Sekali gus, melatih murid berdisiplin melalui nilai amanah, bertanggungjawab, mempunyai jati diri dan semangat berpasukan. Misalnya, melalui aktiviti sukan permainan murid akan dapat membina semangat kesukanan dan berpasukan apabila bergaul dengan murid lain dalam merancang strategi permainan. Selanjutnya, melalui aktiviti kokurikulum unit beruniform, apabila seseorang murid itu dilantik dengan jawatan seperti pengerusi, bendahari, setiausaha dan ahli jawatankuasa murid akan dapat memikul tanggungjawab melalui jawatan tersebut. Hal ini justeru akan menatijahkan dampak positif ke arah mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid sekolah. Bahkan, usaha ini perlu diperluaskan dan dipergiatkan lagi di setiap sekolah rendah dan sekolah menengah. Tegasnya, murid dan pihak sekolah mesti mengambil langkah proaktif bagi menjayakan prakarsa mengekalkan tahap disiplin murid.

Di samping, tahap disiplin murid turut dikekalkan melalui usaha murid dalam menghormati guru yang mengajar di sekolah. Hal ini perlu dipupuk ke dalam diri murid supaya sentiasa menghormati guru sebagai tenaga pengajar yang banyak menyumbang ilmu kepada insan yang bergelar murid. Bahkan, martabat guru adalah tinggi kepada setiap insan, bak kata peribahasa melayu berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Oleh hal yang demikian, murid seharusnya menghormati guru dengan sentiasa memberi ucapan salam, tidak melawan guru, tidak membantah guru dan bercakap dengan guru dengan nada yang sederhana serta berbudi bahasa. Hal ini adalah kerana bukankah budi bahasa amalan kita? yang seterusnya wajib dicontohi terutama di antara murid dan guru. Antaranya adalah seperti mengucap salam apabila murid berselisih dengan guru walaupun bukan di kawasan persekolahan. Hal ini penting supaya murid mempunyai perasaan hormat terhadap guru. Natijahnya, murid harus berbuat baik terhadap guru termasuklah dengan menghormati guru agar disiplin murid dapat dipertingkatkan kepada tahap yang lebih drastik.

Selanjutnya, salah satu inisiatif untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid adalah dengan mewujudkan hubungan yang akrab dengan warga sekolah. Persis peribahasa tak kenal maka tak cinta yang membawa maksud tidak kenal maka tidak wujudlah suasana hubungan silaturahim dengan warga sekolah yang rapik. Hubungan yang akrab dengan warga sekolah antaranya adalah seperti menjalin hubungan baik, memberi teguran kepada rakan yang salah dan menjalankan aktviti sekolah secara bersama-sama. Malah, mewujudkan hubungan yang akrab ini merupakan usaha yang penting untuk mendisiplinkan murid agar mempunyai semangat kerjasama dan bermuafakat. Justifikasinya, dengan memberi teguran kepada rakan yang salah akan membuat murid lebih cakna terhadap masalah yang dialami rakan. Tambahan pula, apabila menjalankan aktiviti sekolah secara bersama secara tidak langsung akan mewujudkan semangat obligasi berpasukan yang tinggi. Hal ini adalah kerana hubungan yang akrab justeru membawa suasana yang harmoni dalam persekitaran sekolah. Tegasnya, murid perlu mengimplementasikan hubungan yang akrab dengan warga sekolah agar tahap disiplin murid akan bertambah jitu.

Sementara itu, murid juga perlu mengamalkan amalan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Contohnya dengan bersikap bekerjasama, amanah, rasional dan bertolak ansur. Hal ini demikian kerana amalan nilai vital juga mampu mengekalkan tahap disiplin murid di sekolah bahkan apabila mereka berdua mereka di luar kawasan sekolah. Sebagai contoh, dengan mengamalkan amalan nilai-nilai murni seperti bersikap rasional murid akan lebih berfikiran terbuka dalam membuat sesuatu keputusan. Sekali gus, murid akan dapat berdisiplin kerana mampu menyelesaikan sesuatu dengan mudah tanpa bantuan orang dewasa apabila berfikiran lebih rasional. Malahan, dengan sentiasa bertolak ansur antara satu sama lain maka, persefahaman akan dapat dibentuk dengan mudah. Begitu juga, halnya dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak yang mementingkan sikap saling bertolak ansur selain daripada perpaduan. Sawabnya, murid mesti mengamalkan nilai vital ini untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid secara holistik.

Seiring dengan itu, tahap disiplin murid boleh dikekalkan dengan keputusan murid yang cemerlang dalam pelajaran. Hal ini penting apabila murid dapat bersikap berdisiplin dengan tidak ponteng ke kelas yang diadakan di sekolah. Hal ini berlaku kerana murid memandang enteng akan perkara ini kerana takut apabila mereka ketinggalan subtopik yang diajar oleh guru.Persis kata peribahasa nak diluah mati emak, nak ditelan mati bapak jika mereka tidak hadir ke kelas. Tambahan pula, murid yang berdisiplin akan menghantar buku latihan untuk disemak oleh guru. Hal ini menunjukkan murid rajin menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh guru dengan baik. Malah, murid akan lebih memanfaatkan masa dan tidak membazirkan masa yang bermanfaat begitu sahaja. Fenomena ini dikatakan kerja bertangguh tak menjadi, kerja beransur tak bertahan. Sekali gus, apabila murid tersebut cemerlang dalam pelajaran secara tidak langsung murid tersebut akan lebih memberi perhatian terhadap guru semasa proses pembelajaran dijalankan. Hal ini membuktikan bahawa murid akan sentiasa fokus dan peka terhadap perkara yang diajarkan guru secara holistik. Bahkan memudahkan murid untuk memahami setiap ilmu yang dicurahkan oleh guru tersebut. Pendek kata, seseorang murid yang cemerlang dalam pelajaran mempunyai tahap disiplin yang baik justeru murid harus mempraktikkan budaya cemerlang ini dalam memperolehi tahap disiplin dan keputusan yang terbaik.

Mauduknya, untuk mengekalkan tahap disiplin dalam kalangan murid di sekolah kerjasama antara murid, guru dan sokongan ibu bapa amat diperlukan untuk merealisasikan visi kudsi ini. Hal ini demikian kerana tanpa tiga elemen penyokong ini maka usaha ini tidak akan berjaya. Persis peribahasa bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Namun demikian, prakarsa ini juga harus dititikberatkan secara teliti untuk mendapatkan dampak yang positif. Dengan kata lain, heterogen usaha oleh semua pihak akan mampu menjayakan tahap disiplin yang memuaskan. Hal ini seterusnya agar tahap disiplin dapat menangkis segala kelakuan negatif murid. Malahan, dapat meningkatkan tahap moral murid supaya sealiran dengan daya pemikiran dan disiplin murid kelas pertama. Generalisasinya, semua pihak perlu berganding bahu bagi membina tahap disiplin murid yang ampuh dalam mendepani arus realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang. Pendek kata, tahap disiplin yang cemerlang mampu membawa murid ke puncak jagat.

No comments:

Post a Comment