Amalan
berjimat-cermat merupakan amalan mulia dalam kehidupan. Amalan ini dapat
mengelakkan diri daripada bersikap boros. Tambahan pula, Islam sendiri menegah
umatnya daripada bersikap boros dalam berbelanja kerana boros itu amalan
syaitan. Selain itu, amalan berjimat cermat ini juga memberi banyak faedah
kepada kita pada masa hadapan. Oleh itu, sebagai masyarakat yang berhemah
marilah kita bersama-sama memupuk amalan berjimat cermat ketika berbelanja.
Kepentingan amalan berjimat cermat
dalam masyarakat adalah untuk kepentingan pendidikan. Dewasa ini, pendidikan
amat penting dalam menerpa alam pekerjaan yang seterusnya menjana pendapatan
masyarakat Malaysia. Oleh hal yang demikian, amalan berjimat cermat ini perlu
dilakukan oleh masyarakat bagi mengatasi masalah kewangan apabila mereka ingin
mendapatkan pendidikan. Sebagai contoh, masyarakat kita sering bersikap boros
ketika berbelanja dan kemudiannya menyumbangkan kepada masalah ketika mereka hendak
melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan menjadi punca utama .
Justifikasinya, masyarakat Malaysia haruslah mempraktikkan amalan
berjimat-cermat untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.
Selanjutnya, salah satu kepentingan
amalan kepentingan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat adalah dapat
dijadikan tabungan pada hari tua. Hal ini berkait rapat dengan sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hal ini pula justeru dapat membantu
masyarakat daripada masalah bebanan hutang. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia
biasanya menganggap bahawa dirinya masih muda untuk melakukan langkah
penjimatan. Oleh hal yang demikian, tabungan pada hari tua ini amat signifikan
untuk keperluan kecemasan pada hari tua. Lantaran itu, amalan berjimat cermat
perlulah dilakukan mulai sekarang agar masyarakat mempunyai simpanan pada masa
hadapan.
Tambahan pula, kepentingan amalan
berjimat cermat dalam kalangan masyarakat juga dapat memajukan dan pembangunan
negara. Hal ini demikian kerana melalui amalan berjimat cermat kestabilan
ekonomi negara dapat dicapai. Sekali gus, dapat memacu kemajuan dan pembangunan
negara melalui pelbagai bidang seperti sains dan teknologi yang semakin
canggih. Misalnya, Malaysia semakin maju dalam sektor bioteknologi bagi memudahkan
manusia pada masa hadapan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengorak langkah
memajukan kemajuan dan pembangunan negara agar transformasi ini menjamin masa
depan yang cerah.
Kepentingan amalan berjimat cermat
dapat membantu masyarakat membiayai kos perubatan apabila mereka mendapatkan
rawatan. Hal ini timbul apakala, kejadian yang tidak dingini berlaku dan amalan
sediakan payung sebelum hujan menjadi penyelamat. Bahkan, kepentingan amalan
berjimat cermat turut membantu menyelamatkan nyawa masyarakat Malaysia yang
tidak berdosa. Contohnya, ada sesetengah masyarakat yang mempunyai penyakit
kronik dan memerlukan rawatan dengan segera jika tidak nyawanya yang bakal
melayang. Tegasnya, amalan berjimat cermat mampu menjamin kehidupan masyarakat
Malaysia lebih bermakna.
Intihanya, amalan berjimat cermat
sudah pasti akan meninggalkan dampak positif kepada kehidupan masyarakat
Malaysia. Hal ini adalah kerana sumber kewangan yang mencukupi sudah tentu
menjamin masa depan yang cerah. Bak kata cendekiawan, Mahatma Gandhi
berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh hal yang
demikian, masyarakat hendaklah mengamalkan amalan berjimat cermat yang membawa
seribu satu kebaikan kepada kehidupan seharian kita.
No comments:
Post a Comment