Lagu :)

19 July 2020

PROGRAM RUMAH TERBUKA 2013


Program Rumah Terbuka merupakan satu alternatif bagi mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Rumah Terbuka acap kali diadakan apabila menjelangnya hari perayaan pada setiap tahun. Antara perayaan yang disambut di Malaysia ialah seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Pesta Keamatan, Pesta Gawai dan sebagainya. Oleh itu, aktiviti-aktiviti sempena program Rumah Terbuka hendaklah disediakan bagi memeriahkan suasana rumah terbuka tersebut.

 

Aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan sempena program rumah terbuka ialah tarian pelbagai kaum. Tarian pelbagai kaum ini adalah merupakan program yang popular sekali di kalangan masyarakat Malaysia dan diminati ramai. Sebagai contoh yang boleh diketengahkan ialah tarian Zapin yang mewakili masyarakat Melayu dan juga terdiri daripada penari perempuan dan lelaki yang menari bersama semasa irama lagu dimainkan. Bahkan, tarian singa memperlihatkan budaya masyarakat Cina yang menggunakan boneka Singa yang dipakai oleh beberapa orang lelaki atau perempuan mengikut rentak yang dimainkan. Malahan, terdapat pelbagai pertunjukan tarian daripada setiap kaum yang mempunyai keunikan dan aura yang tersendiri.

 

Seterusnya, salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia ialah kepelbagaian variasi hidangan makanan tradisional yang dihidangkan kepada para tetamu khusus dalam program Rumah Terbuka. Sebagai analoginya, makanan seperti ketupat, rendang yang disediakan masyarakat Melayu serta tosei, vadei oleh masyarakat India dan kuih bulan yang didatangkan khas oleh masyarakat majmuk di Malaysia mempunyai keistimewaan, kepelbagaian rasa dan cara menjamunya. Sekali gus, membuatkan tetamu yang hadir rambang mata untuk memilihnya. Oleh hal yang demikian, masyarakat seyogianya akan terpikat dengan kepelbagaian makanan tradisional yang dihidangkan kerana tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, aktiviti memperagakan pakaian tradisional turut dapat dijalankan melalui persembahan atau pertunjukan fesyen pemakaian baju tradisional. Pemakaian baju tradisional yang dipakai oleh model melambangkan identity bangsa sesebuah kaum itu. Tamsilnya, pemakaian baju Melayu dan baju Kurung oleh kaum Melayu memperlihatkan ciri-ciri kesopanan dan kesantunan yang sememangnya wujud dalam jati diri kaum ini. Lantaran itu, masyarakat Malaysia dapat mengenal cara pemakaian pakaian tradisional oleh setiap kaum. Malahan, masyarakat juga dapat bersama-sama memajukan industry fesyen tanah air melalui penghasilan karya yang bermutu tinggi. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlulah memakai pakaian tradisional ketika menghadiri program Rumah Terbuka sebagai lambang identiti bangsa yang bersatu padu.

Di samping itu, pameran adat dan budaya masyarakat Malaysia merupakan hal yang signifikan untuk diadakan di program Rumah Terbuka. Hal ini dapat dilakukan dengan menyediakan sebuah sudut informasi kepada tetamu yang hadir. Sebagai contoh, sudut memperkenalkan adat dan budaya masyarakat kaum Melayu, India, Cina dan sebagainya seperti tulisan kaligrafi masyarakat Cina yang membawa maksud yang tersendiri dan cantik untuk dibuat hiasan malah keuntungan kepada mereka sendiri. Seterusnya, bagi masyarakat India pula kewujudan bahasa Sanskrit dan bahasa Tamil yang merupakan bahasa komunikasi mereka sejak dahulu lagi. Oleh hal yang demikian, pameran adat dan budaya masyarakat Malaysia dapat dipelajari dengan mudah melalui program ini.

Intihanya, aktiviti-aktiviti sempena program rumah terbuka terbukti membawa pulangan yang baik kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Di samping itu, program sebegini perlulah lebih dipergiatkan bagi menarik minat ramai lagi masyarakat Malaysia untuk menyertainya. Sekali gus, mempelbagaikan lagi aktiviti sempena program rumah terbuka ini. Selanjutnya, aktiviti-aktiviti sempena program rumah terbuka ini dapat direalisasikan bersama, bak kata pepatah berat sama dijinjing, ringan sama dipikul bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu membina asimilasi budaya yang jitu.

 


No comments:

Post a Comment