Lagu :)

19 July 2020

KEMALANGAN JALAN RAYA 2013

Kemalangan Jalan Raya Punca Dan Tindakan

 

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ sejak tiga tahun lalu, kes kemalangan jalan raya merupakan penyebab utama kematian di negara ini dengan purata 16 kematian setiap hari atau lima ratus setiap bulan.  perangkaan itu merujuk kepada jumlah kes kemalangan yang dilaporkan kepada  pihak polis di seluruh negara dari tahun 2004 hingga 2006.  fokus perbincangan dalam rencana ini tertumpu  kepada pengguna  yang menjadi punca utama nahas jalan raya.  Hal ini demikian kerana soal mengurangkan kemalangan jalan raya lazimnya membabitkan dua timbal balas,  iaitu satu aspek inisiatif kerajaan dan satu lagi respons rakyat.

 

         Menurut Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Solah Mat Hassan sebanyak 18,698 pengguna jalanraya terbunuh akibat kemalangan dengan purata lebih 6000 kematian setahun dalam tempoh itu. Pada tahun 2004 sebanyak 300, 814 kes kemalangan jalan raya dilaporkan kepada pihak polis dengan 6223 kematian. Pada tahun 2005 jumlah kemalangan ialah 341,232 kes  dengan 6287  kematian. Angka-angka  ini bukanlah petanda yang baik kerana hakikatnya kerajaan sudah melakukan segala-galanya untuk menghalang tragedi daripada berlaku termasuk Ops Statik, meningkatkan rondaan, memasang perangkap laju, mengadakan sekatan mengejut,  selain memasang papan tanda amaran sebagai peringatan.

 

             Satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya,  Universiti Putra Malaysia menunjukkan tiga punca utama dikenal pasti menyebabkan kemalangan dan kematian, iaitu faktor manusia sebanyak 67 peratus, jalan dan alam sekitar sebanyak 28 peratus,  manakala kenderaan lima peratus. Oleh itu, walaupun sebanyak mana kempen diadakan kemalangan tetap akan berlaku sekiranya pengguna jalan raya tidak memilih untuk berubah menanganinya.  Sudah banyak yang dilakukan  oleh pihak berkuasa terutama polis dan JPJ dalam menyedarkan para pemandu di negara ini, tetapi semuanya ibarat mencurah ke daun keladi. Ada sesetengah pemandu lebih takut akan surat saman daripada menghadapi maut di jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin boleh menempatkan beribu-ribu anggotanya untuk  mengawal lebuh raya atau jalan raya  tetapi pemandu itu sendiri yang tidak dapat diubah,  maka tragedi akan terus berulang. Mereka tahu bahawa kelajuan boleh membunuh diri sendiri atau orang lain,  tetapi banyak yang tidak peduli.

 

             Alasan tersebut turut diperkukuhkan  menerusi satu kajian lain mengenai peningkatan jumlah kemalangan jalan raya dibuat oleh pelbagai pihak terutamanya PDRM yang menunjukkan sikap manusia antara faktor utama penyumbang kepada pertambahan kemalangan di negara ini.  Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberitahu, pihaknya telah menjalankan kajian berhubung perkara itu dan mendapati sikap tidak sabar rakyat di negara ini merupakan punca kemalangan kerap berlaku. Orang ramai mempunyai sikap tidak sabar ketika memandu,  nilai-nilai ketimuran semakin terhakis apabila memegang stereng dan kurang berhemah di jalan raya.  Mereka mudah rasa tercabar jika ada orang lain memandu laju dan memotong kereta mereka. Apabila  keadaan ini berlaku mereka akan memecut balik tanpa menyedari perbuatannya mampu mengundang kemalangan jalan raya. Oleh itu, orang ramai harus mengikis sikap itu bagi memastikan jumlah kemalangan berkurangan dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.

 

             Dengan kata lain,  faktor kemanusiaan yang sememangnya boleh dielakkan adalah penyebab utama kebanyakan kemalangan jalan raya. Pentingnya perubahan sikap ke atas pengguna jalan raya sering diuar-uarkan oleh pelbagai pihak,  tetapi tidak ke mana. Hal  Inilah yang perlu diberi penekanan tentang cara mengubah sikap pengguna jalan raya di negara kita yang kerap membelakangkan undang-undang di jalan raya sehingga membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain. Pemandu- pemandu di negara kita  tersohor dengan sikap suka memotong di tempat yang tidak dibenarkan,  memandu laju melebihi had,  membuli,  melanggar arahan lampu isyarat,  dan sebagainya. Kita  dapat menyaksikan kesesakan yang melampau,  bermacam cara dan ragam pemanduan,  dan paling ketara ialah sikap pengguna dalam keadaan mengejar masa.  Dalam suasana trafik yang jelas tidak berkompromi,  pengguna mudah hilang sabar. Apabila hal ini memuncak,  ada pengguna naik angin. Mereka bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi  bersikap mementingkan diri sendiri,  dan tidak mengambil berat keselamatan diri  apatah lagi pengguna lain. Lebih mengecewakan lagi, jika sikap pemandu yang tidak bertamadun ini  menyusahkan pengguna lain yang tidak bersalah,  bayangkanlah dalam sesetengah kemalangan pemandu biadab terselamat sedangkan pemandu yang berhati-hati pula sengsara atau terkorban tanpa diundang.   

 

             Sebenarnya banyak faktor lain yang menyumbang kepada  kemalangan jalan raya. Statistik kadar kemalangan amat tinggi  di jalan biasa berbanding di lebuh raya sekaligus membuktikan bahawa jalan raya merupakan punca utama penyumbang kemalangan maut. Hal ini disebabkan jalan biasa, iaitu jalan persekutuan,  Bandaran dan negeri hanya mempunyai satu lorong sehala dan kelebaran jalan yang tidak menjamin keselamatan pemanduan.  Memang tidak dinafikan bahawa pengguna tentunya mahu perjalanan pulang ke kampung atau bergerak ke mana-mana sahaja dalam keadaan selesa dan selamat. Walau bagaimanapun  tidak semua pengguna jalan raya arif akan keadaan jalan raya terutamanya bagi mereka yang sekali-sekala gunakan jalan yang dianggap baharu bagi mereka.  Oleh itu, ciri-ciri keselamatan mesti diambil kira oleh Jabatan Kerja Raya supaya perjalanan setiap pemandu lebih sempurna dan meyakinkan. Tidak ada gunanya kempen demi kempen diadakan jika jalan yang disogokkan kepada pengguna dalam keadaan yang tidak sempurna seperti berlubang di sana sini,  tiada papan tanda amaran,  permukaan jalan raya yang tidak rata,  dan sebagainya yang boleh mengundang bahaya jika kenderaan dipandu laju dan gagal dikawal. Pemandu  akan cuba mengelak jalan yang berlubang sama ada ke tengah, ke tepi dan tidak mustahil kenderaan yang dipandu akan hilang kawalan. Penunggang motosikal kemungkinan besar mereka akan terbabas,  jatuh atau digesel oleh kenderaan yang lebih besar.

 

            Dalam  pada itu,  bagi jalan yang baru diturap,  pihak Jabatan Kerja Raya mestilah meletakkan garisan tengah atau pembahagi jalan supaya pergerakan kenderaan berada di posisi yang sepatutnya dan tidak memasuki laluan bertentangan. Bagi jalan yang baru jalannya rendah, eloklah ditambak tanah merah supaya kenderaan tidak mudah terbabas apabila tergelincir ke bahu jalan. Papan tanda arahan dan amaran mestilah lengkap dan berada dalam keadaan memuaskan dan dalam hal ini JKR mestilah memastikan papan tanda yang sudah rosak atau hilang, dibaiki dan diganti dengan yang baharu.  Hal ini perlu diberi perhatian yang serius kerana pergerakan kenderaan terutamanya pada musim perayaan tidak tentu masanya. Ada  yang memulakan perjalanan pada waktu awal malam, tengah malam dan bagi yang beragama Islam ada yang gemar bertolak selepas bersahur.

 

            Suatu  hakikat yang harus diterima ialah kunci mengatasi ancaman keselamatan jalan raya ini bukan terletak pada Ops Sikap atau mana-mana kempen semata-mata. Tetapi  sebaliknya lebih menjurus kepada perubahan sikap pemandu secara keseluruhan. Mengubah  sikap pemandu bukan kerja mudah. Pemandu  bukan robot yang boleh diubah  mengikut alat kawalan. Pemandu  ialah manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir,  tetapi orang lain tidak boleh memaksa seseorang untuk berfikir atau berubah dengan cermat,  tidak semestinya mereka akan mengikut arahan kita kecuali atas kemahuan mereka sendiri. Sikap  gopoh dan suka memandu tanpa mempedulikan orang lain Bukan ada pada semua orang,  namun dengan adanya segelintir pemandu yang bersikap demikianlah yang menyumbang kepada berlakunya nahas di jalan raya. Untuk  mengelakkan rasa tidak sabar dan mudah marah hingga mengakibatkan kecelakaan,  pemandu perlu memperbanyak doa dan menenangkan hati. Penumpang  yang bersama-sama dalam kenderaan pula jangan sama-sama menyumbang kepada kemarahan pemandu,  sebaliknya cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa masing-masing dengan apa-apa jua cara. Pemandu tidak perlu melulu, kerana dengan sifat takwa sewaktu memandu, tidak mustahil semua keluarga akan bersatu.

 

Seperti yang Ditegaskan bahawa sikap merupakan punca utama yang mengundang tragedi masih membelenggu rakyat negara ini. Atas alasan ini kerajaan akan terus melaksanakan kempen seperti Ops Pacak, Ops Statik dan kemudian Ops Sikap di samping melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa semata-mata untuk mengubah sikap pengguna. Sebelum  sikap berubah,  kefahaman kita perlu berubah.  Sebenarnya kesalahan yang dilakukan itu dapat dibahagi kepada tiga iaitu kesilapan, terlepas pandang dan pelanggaran. Kesilapan  ialah perkara yang bukan biasa berlaku dalam tingkah laku manusia tetapi mungkin disebabkan kerana tersalah agak.  Kedua terlepas pandang, misalnya kita bagi signal ke kiri tetapi belok ke kanan atau hendak masuk gear tiga termasuk  gear lima. Namun,  terlepas pandang masih dapat dikurangkan melalui praktis. Tetapi, kesalahan yang paling besar ialah pelanggaran. Pengguna bukan tidak mengetahui peraturan jalan raya, tetapi disengajakan. Cara  terbaik mengelakkan perkara ini daripada berlaku ialah kawalan dalam diri sendiri dan kawalan dari luar. Dalam  diri sendiri ialah tertumpu kepada aspek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya jangka panjang. Pengalaman di negara-negara yang lebih berjaya,  jika telah melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya ini pada peringkat awal kanak-kanak lagi dan hal ini yang akan dilaksanakan di negara kita.

 

Selain itu,  bagi memastikan kemalangan jalan raya tidak berlaku,  setiap pengguna jalan raya perlulah buat persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan.  Hal ini demikian kerana walaupun telah berulang kali diingatkan,  kebanyakan pemandu berada dalam keadaan tidak bersedia baik dari segi mental mahupun fizikal. Memandu  dalam keadaan  mengantuk,  enggan berhenti kerana mahu cepat sampai misalnya menyebabkan pemandu hilang tumpuan dan gagal mengawal kenderaan jika berlaku sesuatu  keadaan yang tidak diingini. Sikap-sikap  negatif seperti tidak sabar untuk sampai ke destinasi harus diketepikan. Memandu laju bukan bermakna  kita akan sampai ke destinasi, tetapi kalau tersilap langkah mungkin akan bertukar jadi satu tragedi yang memilukan. Lantaran itu, jika seseorang itu hendak tiba pada waktu tertentu,  rancang perjalanan lebih awal. Di Jepun, bandar seperti Tokyo atau Yokohama memang terkenal sentiasa sesak, tetapi pemandu-pemandu mereka mengambil berat soal merancang  perjalanan. Mereka  merancang dua jam lebih awal,  tetapi sebaliknya masyarakat kita lebih suka berada dalam kesesakan jalan raya,  berlawan dengan emosi yang akhirnya mengundang bahaya kepada diri sendiri,  keluarga dan orang lain.

 

    Sebagai intiha, pelbagai kempen dan prakarsa telah dirangka dan dilaksanakan termasuklah penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tidak kira sama ada pada musim perayaan. Oleh itu,  perubahan sikap daripada negatif kepada positif secara langsung dapat menggunakan kadar kemalangan dan tidak hanya sekadar bergantung pada ikhtiar kerajaan semata-mata.

 


No comments:

Post a Comment