Kemalangan Jalan Raya Punca
Dan Tindakan
Berdasarkan perangkaan
Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ sejak tiga tahun lalu, kes kemalangan jalan raya
merupakan penyebab utama kematian di negara ini dengan purata 16 kematian
setiap hari atau lima ratus setiap bulan. perangkaan itu merujuk kepada
jumlah kes kemalangan yang dilaporkan kepada pihak polis di seluruh
negara dari tahun 2004 hingga 2006. fokus perbincangan dalam rencana ini
tertumpu kepada pengguna yang menjadi punca utama nahas jalan
raya. Hal ini demikian kerana soal mengurangkan kemalangan jalan raya
lazimnya membabitkan dua timbal balas, iaitu satu aspek inisiatif
kerajaan dan satu lagi respons rakyat.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Solah Mat Hassan
sebanyak 18,698 pengguna jalanraya terbunuh akibat kemalangan dengan purata
lebih 6000 kematian setahun dalam tempoh itu. Pada tahun 2004 sebanyak 300, 814
kes kemalangan jalan raya dilaporkan kepada pihak polis dengan 6223 kematian.
Pada tahun 2005 jumlah kemalangan ialah 341,232 kes dengan 6287
kematian. Angka-angka ini bukanlah petanda yang baik kerana hakikatnya
kerajaan sudah melakukan segala-galanya untuk menghalang tragedi daripada
berlaku termasuk Ops Statik, meningkatkan rondaan, memasang perangkap laju,
mengadakan sekatan mengejut, selain memasang papan tanda amaran sebagai
peringatan.
Satu kajian yang
dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti
Putra Malaysia menunjukkan tiga punca utama dikenal pasti menyebabkan
kemalangan dan kematian, iaitu faktor manusia sebanyak 67 peratus, jalan dan
alam sekitar sebanyak 28 peratus, manakala kenderaan lima peratus. Oleh
itu, walaupun sebanyak mana kempen diadakan kemalangan tetap akan berlaku
sekiranya pengguna jalan raya tidak memilih untuk berubah menanganinya.
Sudah banyak yang dilakukan oleh pihak berkuasa terutama polis dan JPJ
dalam menyedarkan para pemandu di negara ini, tetapi semuanya ibarat mencurah
ke daun keladi. Ada sesetengah pemandu lebih takut akan surat saman daripada
menghadapi maut di jalan raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin boleh
menempatkan beribu-ribu anggotanya untuk mengawal lebuh raya atau jalan
raya tetapi pemandu itu sendiri yang tidak dapat diubah, maka
tragedi akan terus berulang. Mereka tahu bahawa kelajuan boleh membunuh diri
sendiri atau orang lain, tetapi banyak yang tidak peduli.
Alasan tersebut
turut diperkukuhkan menerusi satu kajian lain mengenai peningkatan jumlah
kemalangan jalan raya dibuat oleh pelbagai pihak terutamanya PDRM yang
menunjukkan sikap manusia antara faktor utama penyumbang kepada pertambahan
kemalangan di negara ini. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan
memberitahu, pihaknya telah menjalankan kajian berhubung perkara itu dan
mendapati sikap tidak sabar rakyat di negara ini merupakan punca kemalangan
kerap berlaku. Orang ramai mempunyai sikap tidak sabar ketika memandu,
nilai-nilai ketimuran semakin terhakis apabila memegang stereng dan kurang
berhemah di jalan raya. Mereka mudah rasa tercabar jika ada orang lain memandu
laju dan memotong kereta mereka. Apabila keadaan ini berlaku mereka akan
memecut balik tanpa menyedari perbuatannya mampu mengundang kemalangan jalan
raya. Oleh itu, orang ramai harus mengikis sikap itu bagi memastikan jumlah
kemalangan berkurangan dan selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Dengan kata
lain, faktor kemanusiaan yang sememangnya boleh dielakkan adalah penyebab
utama kebanyakan kemalangan jalan raya. Pentingnya perubahan sikap ke atas
pengguna jalan raya sering diuar-uarkan oleh pelbagai pihak, tetapi tidak
ke mana. Hal Inilah yang perlu diberi penekanan tentang cara mengubah
sikap pengguna jalan raya di negara kita yang kerap membelakangkan
undang-undang di jalan raya sehingga membawa padah kepada diri sendiri dan
orang lain. Pemandu- pemandu di negara kita tersohor dengan sikap suka
memotong di tempat yang tidak dibenarkan, memandu laju melebihi
had, membuli, melanggar arahan lampu isyarat, dan sebagainya.
Kita dapat menyaksikan kesesakan yang melampau, bermacam cara dan
ragam pemanduan, dan paling ketara ialah sikap pengguna dalam keadaan
mengejar masa. Dalam suasana trafik yang jelas tidak berkompromi,
pengguna mudah hilang sabar. Apabila hal ini memuncak, ada pengguna naik
angin. Mereka bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi bersikap
mementingkan diri sendiri, dan tidak mengambil berat keselamatan
diri apatah lagi pengguna lain. Lebih mengecewakan lagi, jika sikap
pemandu yang tidak bertamadun ini menyusahkan pengguna lain yang tidak
bersalah, bayangkanlah dalam sesetengah kemalangan pemandu biadab
terselamat sedangkan pemandu yang berhati-hati pula sengsara atau terkorban
tanpa diundang.
Sebenarnya banyak
faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Statistik kadar
kemalangan amat tinggi di jalan biasa berbanding di lebuh raya sekaligus
membuktikan bahawa jalan raya merupakan punca utama penyumbang kemalangan maut.
Hal ini disebabkan jalan biasa, iaitu jalan persekutuan, Bandaran dan
negeri hanya mempunyai satu lorong sehala dan kelebaran jalan yang tidak
menjamin keselamatan pemanduan. Memang tidak dinafikan bahawa pengguna
tentunya mahu perjalanan pulang ke kampung atau bergerak ke mana-mana sahaja
dalam keadaan selesa dan selamat. Walau bagaimanapun tidak semua pengguna
jalan raya arif akan keadaan jalan raya terutamanya bagi mereka yang
sekali-sekala gunakan jalan yang dianggap baharu bagi mereka. Oleh itu,
ciri-ciri keselamatan mesti diambil kira oleh Jabatan Kerja Raya supaya
perjalanan setiap pemandu lebih sempurna dan meyakinkan. Tidak ada gunanya
kempen demi kempen diadakan jika jalan yang disogokkan kepada pengguna dalam
keadaan yang tidak sempurna seperti berlubang di sana sini, tiada papan
tanda amaran, permukaan jalan raya yang tidak rata, dan sebagainya
yang boleh mengundang bahaya jika kenderaan dipandu laju dan gagal dikawal.
Pemandu akan cuba mengelak jalan yang berlubang sama ada ke tengah, ke
tepi dan tidak mustahil kenderaan yang dipandu akan hilang kawalan. Penunggang
motosikal kemungkinan besar mereka akan terbabas, jatuh atau digesel oleh
kenderaan yang lebih besar.
Dalam pada itu, bagi jalan yang baru
diturap, pihak Jabatan Kerja Raya mestilah meletakkan garisan tengah atau
pembahagi jalan supaya pergerakan kenderaan berada di posisi yang sepatutnya
dan tidak memasuki laluan bertentangan. Bagi jalan yang baru jalannya rendah,
eloklah ditambak tanah merah supaya kenderaan tidak mudah terbabas apabila
tergelincir ke bahu jalan. Papan tanda arahan dan amaran mestilah lengkap dan
berada dalam keadaan memuaskan dan dalam hal ini JKR mestilah memastikan papan
tanda yang sudah rosak atau hilang, dibaiki dan diganti dengan yang
baharu. Hal ini perlu diberi perhatian yang serius kerana pergerakan
kenderaan terutamanya pada musim perayaan tidak tentu masanya. Ada yang
memulakan perjalanan pada waktu awal malam, tengah malam dan bagi yang beragama
Islam ada yang gemar bertolak selepas bersahur.
Suatu hakikat yang harus diterima ialah kunci
mengatasi ancaman keselamatan jalan raya ini bukan terletak pada Ops Sikap atau
mana-mana kempen semata-mata. Tetapi sebaliknya lebih menjurus kepada
perubahan sikap pemandu secara keseluruhan. Mengubah sikap pemandu bukan
kerja mudah. Pemandu bukan robot yang boleh diubah mengikut alat
kawalan. Pemandu ialah manusia yang dikurniakan akal untuk
berfikir, tetapi orang lain tidak boleh memaksa seseorang untuk berfikir
atau berubah dengan cermat, tidak semestinya mereka akan mengikut arahan
kita kecuali atas kemahuan mereka sendiri. Sikap gopoh dan suka memandu
tanpa mempedulikan orang lain Bukan ada pada semua orang, namun dengan
adanya segelintir pemandu yang bersikap demikianlah yang menyumbang kepada
berlakunya nahas di jalan raya. Untuk mengelakkan rasa tidak sabar dan
mudah marah hingga mengakibatkan kecelakaan, pemandu perlu memperbanyak
doa dan menenangkan hati. Penumpang yang bersama-sama dalam kenderaan
pula jangan sama-sama menyumbang kepada kemarahan pemandu, sebaliknya
cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa masing-masing dengan apa-apa jua cara.
Pemandu tidak perlu melulu, kerana dengan sifat takwa sewaktu memandu, tidak
mustahil semua keluarga akan bersatu.
Seperti yang Ditegaskan
bahawa sikap merupakan punca utama yang mengundang tragedi masih membelenggu
rakyat negara ini. Atas alasan ini kerajaan akan terus melaksanakan kempen
seperti Ops Pacak, Ops Statik dan kemudian Ops Sikap di samping melakukan
penambahbaikan dari semasa ke semasa semata-mata untuk mengubah sikap pengguna.
Sebelum sikap berubah, kefahaman kita perlu berubah.
Sebenarnya kesalahan yang dilakukan itu dapat dibahagi kepada tiga iaitu
kesilapan, terlepas pandang dan pelanggaran. Kesilapan ialah perkara yang
bukan biasa berlaku dalam tingkah laku manusia tetapi mungkin disebabkan kerana
tersalah agak. Kedua terlepas pandang, misalnya kita bagi signal ke kiri
tetapi belok ke kanan atau hendak masuk gear tiga termasuk gear lima.
Namun, terlepas pandang masih dapat dikurangkan melalui praktis. Tetapi,
kesalahan yang paling besar ialah pelanggaran. Pengguna bukan tidak mengetahui
peraturan jalan raya, tetapi disengajakan. Cara terbaik mengelakkan
perkara ini daripada berlaku ialah kawalan dalam diri sendiri dan kawalan dari
luar. Dalam diri sendiri ialah tertumpu kepada aspek Pendidikan
Keselamatan Jalan Raya jangka panjang. Pengalaman di negara-negara yang lebih
berjaya, jika telah melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya ini
pada peringkat awal kanak-kanak lagi dan hal ini yang akan dilaksanakan di
negara kita.
Selain itu, bagi
memastikan kemalangan jalan raya tidak berlaku, setiap pengguna jalan
raya perlulah buat persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan. Hal ini
demikian kerana walaupun telah berulang kali diingatkan, kebanyakan
pemandu berada dalam keadaan tidak bersedia baik dari segi mental mahupun
fizikal. Memandu dalam keadaan mengantuk, enggan berhenti
kerana mahu cepat sampai misalnya menyebabkan pemandu hilang tumpuan dan gagal
mengawal kenderaan jika berlaku sesuatu keadaan yang tidak diingini.
Sikap-sikap negatif seperti tidak sabar untuk sampai ke destinasi harus
diketepikan. Memandu laju bukan bermakna kita akan sampai ke destinasi,
tetapi kalau tersilap langkah mungkin akan bertukar jadi satu tragedi yang
memilukan. Lantaran itu, jika seseorang itu hendak tiba pada waktu
tertentu, rancang perjalanan lebih awal. Di Jepun, bandar seperti Tokyo
atau Yokohama memang terkenal sentiasa sesak, tetapi pemandu-pemandu mereka
mengambil berat soal merancang perjalanan. Mereka merancang dua jam
lebih awal, tetapi sebaliknya masyarakat kita lebih suka berada dalam
kesesakan jalan raya, berlawan dengan emosi yang akhirnya mengundang
bahaya kepada diri sendiri, keluarga dan orang lain.
Sebagai intiha, pelbagai kempen dan prakarsa telah
dirangka dan dilaksanakan termasuklah penguatkuasaan bagi memastikan
keselamatan pengguna jalan raya tidak kira sama ada pada musim perayaan. Oleh
itu, perubahan sikap daripada negatif kepada positif secara langsung
dapat menggunakan kadar kemalangan dan tidak hanya sekadar bergantung pada
ikhtiar kerajaan semata-mata.